KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan pemulihan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami patah tulang pinggul kanan.
Menurut Sufi Yusoff, Dr Mahathir mengalami kecederaan itu selepas terjatuh di kediamannya di The Mines pada 6 Januari lalu.
“Susulan kejadian itu, Tun Dr. Mahathir telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan kini menunjukkan perkembangan positif apabila menjalani rawatan fisioterapi secara berperingkat tanpa memerlukan sebarang pembedahan,” demikian menurut Sufi hari ini.
Pihak perubatan dan doktor pakar memaklumkan mereka berpuas hati dengan tahap kemajuan proses pemulihan yang dicapai selepas 14 hari beliau menerima rawatan di IJN.
Bagaimanapun, proses pemulihan secara fisioterapi dijangka mengambil masa yang agak panjang memandangkan faktor usia serta keperluan rawatan berperingkat.
Dalam pada itu, Dr Mahathir dan keluarganya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menanyakan keadaan kesihatan beliau serta mendoakan agar beliau cepat pulih.
Pihak keluarga juga memohon maaf kerana atas nasihat pakar perubatan, ziarah buat masa ini dihadkan hanya kepada ahli keluarga terdekat.
“Tun Dr. Mahathir dan keluarga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang terus menerus bertanyakan akan keadaan kesihatan beliau serta mendoakan agar beliau cepat pulih,” kata Sufi lagi.
Pada 6 Januari lalu, Dr Mahathir dikejarkan ke IJN sekitar jam 9.30 pagi akibat terjatuh di kediamannya. – MalaysiaGazette
















