SUBANG JAYA – Seramai 252 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di dua lokasi pada awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah Imigresen Selangor (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, sejumlah 198 PATI ditahan menerusi serbuan di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan kondominium di USJ 23, manakala selebihnya di Kompleks Pasar Besar Meru, Klang.
Dalam serbuan PATI di rumah kongsi, ada dalam kalangan mereka cuba melarikan diri ke kawasan lombong, namun gagal selepas dihalang anggota penguat kuasa.
Timbalan Pengarah Imigresen Selangor (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa.
Serbuan di rumah kongsi menahan 20 warga Indonesia, 148 warga Bangladesh, 28 warga Myanmar serta masing-masing seorang warga Nepal dan Pakistan.
Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 50 tahun, katanya kepada pemberita.

Mohamad Khuzairi berkata, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
Beliau turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette
















