Pemuda UMNO Pekan dan AMK Pekan menunjukkan laporan polis dibuat di IPD Pekan berhubung isu salah terjemah titah YDPA semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen semalam.

PEKAN – Satu perundangan khusus serta lebih tegas perlu diwujudkan terhadap mana-mana pihak yang tidak mengambil serius dan menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) secara sengaja mahupun tidak.

Ketua Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, ia perlu diperkenalkan segera bagi mengekang perkara-perkara yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan antara kaum daripada berulang.

“Memandangkan sekarang sedang berlangsung Sidang Dewan Rakyat, saya harap ada mana-mana ahli parlimen yang bangkit untuk utarakan berkenaan dengan isu penghinaan raja-raja, penghinaan agama dan penghinaan bangsa ini ke dalam akta yang lebih spesifik tidak terhad kepada akta komunikasi dan multimedia dan juga Akta Hasutan.

“Di Malaysia dengan perkembangan waktu ini, kita perlukan akta yang lebih spesifik untuk perkara-perkara yang melibatkan 3R,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed (kiri) dan Dr. Boi Saidi Abdul Razak

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap sebuah organisasi media berbahasa Cina berhubung isu kandungan dalam talian terbitan akhbar itu yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen semalam.

Selain Mohd Fakhrul, turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan berhubung perkara tersebut hari ini ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pekan, Muhammad Zubair Tugimon serta beberapa penyokong kedua-dua parti tersebut.

“Apa yang ditulis China Press sama sekali tidak benar dan juga di luar daripada konteks kenyataan yang kenyataan yang sebenar. Jadi, pihak kami amat kesal dan marah kenapa perkara sebegini seolah-olah dibuat main oleh China Press padahal kenyataan yang dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong itu jelas dan dan amat mudah untuk difahami.

“Walaupun pihak China Press telah edit semula kenyataan dan sebagainya, bagi saya perkara ini sangat tidak wajar kerana melibatkan pemimpin nombor satu negara dan juga melibatkan institusi raja-raja Melayu,” tambahnya.

Sementara itu, Muhammad Zubair berkata, tindakan organisasi media berkenaan tidak sewajarnya berlaku kerana kandungan ditulis media akan dibaca dan membawa pengaruh terhadap pembaca.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pekan, Muhammad Zubair Tugimon

Katanya, jika kenyataan seperti itu disalahtafsir masyarakat, ia berpotensi memberi impak negatif terhadap pihak Istana dan insitusi raja-raja.

“Jika ia tidak dibendung, ia juga akan beri kesan negatif kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar,” katanya.

Justeru, kedua-dua mereka menyeru agar Akta khusus diwujudkan bagi mengelakkan kejadian atau kenyataan pihak-pihak tertentu yang menyentuh 3R ini tidak berterusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast