KUALA LUMPUR – Proses mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, Sabah berlangsung lancar hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, proses pengundian awal bermula pada jam 8 pagi dengan pembukaan satu pusat pengundian awal di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.
Pusat pengundian tersebut ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang selepas selesai proses pengundian oleh semua pengundi awal yang layak.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, seramai 189 anggota polis disenaraikan sebagai pengundi awal bagi PRK Parlimen P.187 Kinabatangan dan PRK DUN N.58 Lamag.
“Sejumlah 93 peratus atau 176 orang pengundi yang terdiri daripada anggota polis telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN) Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlangsung antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan). – MalaysiaGazette
















