Selain keselamatan psikologi, sekolah juga memerlukan keselamatan psikososial. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun 1 Sekolah Kebangsaan (SK) terus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati sebahagian besar ibu bapa masih berbelah bahagi dan skeptikal sama ada dasar tersebut sesuai dilaksanakan mengikut konteks sistem pendidikan negara.

Ibu bapa, Roslina Mohamed Nor, 53 bercakap kepada MalaysiaGazette mengenai Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sekitar Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JANUARI 2026.
Ibu bapa, Roslina Mohamed Nor. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JANUARI 2026.

Bagi Roslina Mohamed Nor, 53, secara jelas tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana berpendapat kanak-kanak  enam tahun masih belum benar-benar bersedia untuk memasuki alam persekolahan formal.

“Saya tidak setuju kerana pada umur enam tahun mereka masih dalam proses mengenal huruf. Tahun satu sekarang sudah menekankan kebolehan membaca dan mengira, jadi kalau umur enam tahun masih belum lagi, lebih baik normalkan amalan yang ada sekarang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas sama ada beliau akan menghantar anak berusia enam tahun ke Tahun 1 sekiranya diberi pilihan, Roslina menegaskan pendiriannya tidak berbuat demikian kerana kanak-kanak pada usia tersebut masih berada dalam fasa bermain sambil belajar.

“Kalau Tahun 1 mereka akan fokus kepada pelajaran. Budak umur enam tahun belum bersedia untuk memasuki alam persekolahan Tahun 1,” ujarnya lagi.

Ibu bapa, Fadzil Abdul Hamid, 37 bercakap kepada MalaysiaGazette mengenai Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sekitar Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JANUARI 2026.
Fadzil Abdul Hamid. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JANUARI 2026.

Pandangan sama turut dikongsi oleh Fadzil Abdul Hamid, 37, yang berpendapat,  walaupun kanak-kanak berusia enam tahun, mereka masih cenderung untuk bermain dan belum mampu memberi fokus sepenuhnya terhadap pembelajaran formal.

“Saya tidak setuju sebab umur enam tahun pun masih dalam mod bermain. Kalau hantar masuk Tahun 1 takut mereka tidak fokus,” katanya.

Menurut beliau, beban kewangan ibu bapa juga perlu diambilkira kerana bukan semua keluarga berada dalam keadaan selesa untuk menanggung kos pendaftaran dan yuran PIBG sekiranya kemasukan awal dilaksanakan.

Mengulas perbandingan dengan lebih 160 negara yang telah melaksanakan kemasukan sekolah rendah pada usia lima dan enam tahun, Fadzil berpandangan, perbandingan tersebut tidak wajar dibuat secara langsung tanpa mengambil kira perbezaan sistem pendidikan.

“Kita tidak boleh bandingkan dengan negara lain kerana sistem pembelajaran mereka berlainan. Kalau nak bandingkan, kita kena tengok dahulu sistem pembelajaran kita sendiri,” jelasnya.

Ibu bapa, Khairuddin Mustafa, 42 bercakap kepada MalaysiaGazette mengenai Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sekitar Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JANUARI 2026.
Khairuddin Mustafa. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JANUARI 2026.

Sementara itu, Khairuddin Mustafa, 42, pula menyifatkan cadangan tersebut sebagai kurang sesuai dengan realiti semasa di negara ini khususnya dari sudut kesediaan kanak-kanak dan persekitaran pembelajaran.

“Walaupun kerajaan kata ia tidak diwajibkan, rakyat akan anggap ia sebagai wajib dan akan berlumba-lumba hantar anak awal sebab takut anak ketinggalan,” katanya.

Beliau turut bimbang kanak-kanak enam tahun yang belum menguasai kemahiran asas menulis, membaca dan mengira (3M) menyebabkan murid berdepan kesukaran, sekali gus memberi kesan lebih besar kepada murid di luar bandar yang sedia berdepan jurang pembelajaran.

Ibu bapa, Mohd Shukri Ahmad Mansor, 44 bercakap kepada MalaysiaGazette mengenai Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sekitar Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JANUARI 2026.
Mohd Shukri Ahmad Mansor. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JANUARI 2026.

Dalam pada itu, Mohd Shukri Ahmad Mansor, 44, berpandangan lebih terbuka dan menyambut baik pelaksanaan tersebut sekiranya ia bersifat sukarela serta berdasarkan kemampuan kanak-kanak itu sendiri.

“Kalau ibu bapa rasa anak mereka sudah bersedia, mereka boleh mula awal. Ini membolehkan anak habis sekolah dan mula bekerja lebih awal,” katanya sambil memaklumkan beliau sendiri akan menghantar anak ke Tahun 1 pada usia enam tahun.

Ibu bapa, Kevin Kok, 50 bercakap kepada MalaysiaGazette mengenai Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sekitar Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JANUARI 2026.
Kevin Kok. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JANUARI 2026.

Pandangan positif itu turut disuarakan Kevin Kok, 50, yang melihat pelaksanaan kemasukan awal sebagai langkah baik untuk masa depan kanak-kanak memandangkan kebanyakan mereka kini sudah terdedah kepada pembelajaran seawal usia dua hingga lima tahun.

“Tidak akan ada masalah kerana mereka sudah biasa dengan suasana pembelajaran. Masuk Tahun 1 pada usia enam tahun hanya meneruskan proses yang sudah bermula lebih awal,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahwa bermula tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, sementara tahun satu pula akan bermula pada usia enam tahun.

Namun Anwar menjelaskan perubahan masih belum diwajibkan kepada ibu bapa, bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baru pendidikan, khususnya warga pendidik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast