KUALA LUMPUR – Jalan Tokong Naga atau Dragon Temple Lane di Pulau Pinang bukan nama baharu sebaliknya telah digunakan sejak puluhan tahun lalu.
Ia telah direkodkan secara rasmi sejak 1951, kata Setiausaha Tokong Thean Hock Keong, Ng Choong Seong.
Beliau berkata, cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan negeri hanyalah untuk memulihkan semula nama asal bagi laluan kecil di hadapan tokong berkenaan.
Malah ia tidak melibatkan penukaran keseluruhan nama Jalan Pantai Bersih seperti yang didakwa segelintir pihak sehingga mengundang rasa tidak gusar dalam kalangan masyarakat.
“Nama Jalan Tokong Naga telah direkodkan dalam pendaftaran pertubuhan Tokong Thean Hock Keong sejak 1951 dan disokong oleh beberapa dokumen rasmi kerajaan.
“Dakwaan bahawa kami mahu menukar keseluruhan nama Jalan Pantai Bersih adalah tidak benar,” katanya ketika menghubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Choong Seong, permohonan itu hanya melibatkan laluan kurang daripada 300 meter di hadapan tokong manakala baki kira-kira 800 meter lagi akan terus mengekalkan nama Jalan Pantai Bersih yang keseluruhannya sepanjang 1.1 kilometer.
Jelasnya, penduduk lama di kawasan Bagan masih mengingati laluan di hadapan tokong itu pada asalnya dikenali sebagai Jalan Tokong Naga atau Dragon Temple Lane sebelum penggunaan nama Jalan Pantai Bersih diperluaskan.
“Cadangan pemulihan nama ini bertujuan mengekalkan unsur warisan sedia ada dan tidak menjejaskan identiti Jalan Pantai Bersih,” ujarnya.
Katanya lagi, Tokong Thean Hock Keong merupakan sebuah tokong Cina yang sah dan bersejarah sejak 1951 serta antara tokong terbesar di kawasan Bagan, Seberang Perai Utara.

Beliau turut menegaskan, cadangan itu hanya melibatkan empat unit premis, iaitu dua milik Tokong Thean Hock Keong, sebuah tokong Cina lain dan Persatuan Bomba Sukarela Bagan Ajam.
“Semua premis yang terlibat adalah bukan Islam dan tidak melibatkan kawasan perumahan. Oleh itu, cadangan ini tidak akan menimbulkan kekeliruan kepada penduduk atau menyebabkan sebarang ketidakselesaan awam,” tegasnya.
Tambah beliau, pihak tokong telah mengemukakan dokumen sokongan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membuktikan kewujudan dan penggunaan nama Jalan Tokong Naga sejak sekian lama.
“Kami berharap penjelasan ini dapat memberikan gambaran yang tepat dan jelas bahawa cadangan ini bukan untuk menggantikan keseluruhan nama Jalan Pantai Bersih.
“Sebaliknya sekadar memulihkan nama asal bagi sebahagian kecil laluan demi pemeliharaan warisan, kita benar-benar berharap isu ini dapat diselesaikan dengan cara baik,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















