KUALA LUMPUR – Seramai 13,721 kakitangan diperlukan bagi memperkukuhkan peranan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) apabila ia beroperasi secara penuh yang meliputi 140 pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini, 6,866 pegawai pelbagai agensi sedang bertugas dengan menjaga 22 pintu masuk negara bagi fasa pertama operasinya.
Menurut beliau, pintu masuk negara berjumlah 140 tetapi yang aktif adalah 122 di mana tahun ini akan terdapat pertambahan pintu masuk.
“Buat masa sekarang, di Ibu Pejabat AKPS kita ada 98 orang. Kita ada Ketua Pengarah, kita ada tiga Timbalan Ketua Pengarah. Tetapi keseluruhannya adalah 98 orang. Satu lagi peringkat kakitangan adalah yang diserahkan oleh agensi tonggak. Jadi Kastam, contohnya, ada bilangan tertentu pegawai yang perlu diserahkan, begitulah juga agensi lain.
“Jadi itu membawa kepada kekuatan sekarang, 98 tadi yang menduduki ibu pejabat, dan ini 6,866 pegawai pelbagai agensi yang sedang bertugas di bawah AKPS. Idealnya kita perlu ada 13,721 orang.
“Tetapi kerana pelaksanaannya itu, perjawatan yang kita idamkan untuk memenuhi fungsi penubuhan agensi adalah satu bab. Kemudian ia akan dituruti pula dengan proses pengambilan. Jadi itu haruslah dilaksanakan secara berfasa. Jadi sekarang 6,866 orang. Mereka menjaga 22 pintu masuk, tetapi tahun ini akan ada pertambahan pintu masuk.
“Pintu masuk negara kita ini berjumlah 140, tetapi yang aktif adalah 122. Fasa pertama selama setahun, kita menjaga 22 pintu masuk. Jadi sekarang ini, 6,866 pegawai pelbagai agensi sedang bertugas. Itu penting,” katanya pada sesi Pemberitahuan Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanyakan langkah lerajaan bagi memperkukuhkan lagi AKPS khususnya daripada segi penambahan perjawatan, integrasi kerjasama pelbagai agensi, kelengkapan teknologi dan peningkatan integriti pegawai penguatkuasa bagi memastikan pintu sempadan negara tidak dibolosi.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, terbaru adalah pengambilan bekas anggota tentera di mana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah meluluskan 200 jawatan.
“Kelulusan telah diberikan dan kita perlu melalui proses pengambilan. Tentera kadang-kadang umur 38 atau 40 tahun sudah bersara, tetapi mereka mempunyai pengalaman darat, laut, udara, komando dan pelbagai kepakaran.
“Kita mahu memanfaatkan pengalaman itu untuk membantu AKPS. Jadi 200 jawatan itu akan diisi melalui proses pengambilan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
















