KUALA LUMPUR – Polis teleh mengenal pasti penglibatan dua individu dipercayai terlibat dalam pemalsuan dokumen yang dikemukakan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semasa proses pendaftaran tujuh orang pemain warisan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, usaha mengenal pasti identiti sebenar dan mengesan mereka sedang giat dijalankan.
Menurutnya, setakat ini, polis telah menerima 45 laporan polis berkaitan isu ini termasuk satu laporan oleh FAM dan merakam percakapan 43 orang saksi melibatkan FAM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan saksi awam bagi melengkapkan siasatan.
Siasatan awal polis mendapati taraf kewarganegaraan melalui penaturalisasian kepada tujuh orang pemain warisan Harimau Malaya tersebut dibuat melalui proses yang teratur dan mengikut semua prosedur ditetapkan oleh undang-undang sedia ada.
Katanya, siasatan menjurus kepada elemen penipuan dan pemalsuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan semasa proses pendaftaran serta mengemukakan dokumen pemain-pemain yang terlibat kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Hukuman yang diperuntukkan di bawah kesalahan ini ialah penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebatan dan denda.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi di samping memberi jaminan untuk komited dalam memastikan ketelusan serta integrity siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan tanpa melindungi mana-mana pihak. – MalaysiaGazette
















