KUALA LUMPUR – Sunway Bhd. mengesahkan tetap meneruskan tawaran pengambilan alih sukarela bersyarat untuk memiliki kesemua 3.51 bilion saham biasa IJM Corp Bhd pada harga tawaran RM3.15 sesaham.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, konglomerat itu berkata cadangan tawaran tersebut diteruskan selaras dengan peraturan mengenai pengambilalihan, penggabungan dan pemerolehan wajib yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
“Tawaran cadangan ini tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham Sunway yang akan diperoleh melalui satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Sunway yang akan diadakan,” katanya.
Pada 12 Januari lalu, Sunway mencadangkan satu tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh keseluruhan 3.51 bilion saham dalam IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham.
Ia berkata pihaknya mungkin menamakan satu anak syarikat milik penuh sebagai penerima saham-saham tawaran tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN
IJM sedang dibelenggu skandal apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
SPRM juga melakukan pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan berlainan iaitu kediaman dan pejabat salah seorang pengurusan tertinggi IJM Corporation.
Semalam, IJM dalam satu kenyataan menafikan sebarang dakwaan salah laku melibatkan syarikat itu dan sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Ia juga menolak sekeras-kerasnya sebarang dakwaan pengubahan wang haram, khususnya yang dikaitkan dengan pelaburannya di United Kingdom.
Menurut kenyataan itu, Pengerusi syarikat, Tan Sri Krishnan Tan telah bertemu pegawai SPRM, semalam bagi membantu siasatan.
Katanya, beberapa kakitangan lain yang diminta untuk memberikan maklumat turut memberi kerjasama sepenuhnya sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan. -MalaysiaGazette
















