IJM Corporation Bhd

KUALA LUMPUR – IJM Corporation Bhd. (IJM) menafikan sebarang dakwaan salah laku melibatkan syarikat itu dan sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Malah menurutnya, Pengerusi syarikat, Tan Sri Krishnan Tan telah bertemu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Tambahnya, beberapa kakitangan lain yang diminta untuk memberikan maklumat turut memberi kerjasama sepenuhnya sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.

“Pengerusi kami, Tan Sri Krishnan Tan, telah bertemu pegawai SPRM petang ini dan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Syarikat serta rakan sekutu kami di United Kingdom (UK) juga tidak mengetahui sebarang siasatan oleh Pejabat Penipuan Serius (SFO) UK.

“Kami tidak pernah dihubungi (oleh SFO) dan sebarang laporan yang mencadangkan sebaliknya adalah tidak tepat,” katanya.

Mengulas mengenai laporan media mengenai penasihat syarikat itu, IJM menjelaskan individu terbabit sebelum ini hanya dilantik secara profesional bagi menyediakan khidmat nasihat berkaitan sejumlah terhad urus niaga korporat.

Tegasnya, beliau bukan penasihat tetap seperti yang digambarkan dalam laporan media berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/01/21/op-heart-sprm-siasat-ijm-babit-isu-tadbir-urus-korporat-aset-luar-negara-kira-kira-rm2-5-bilion/

https://malaysiagazette.com/2026/01/19/sprm-siasat-dakwaan-skim-pengubahan-wang-haram-rm2-5-bilion-libat-ijm/

IJM juga menolak sekeras-kerasnya sebarang dakwaan pengubahan wang haram, khususnya yang dikaitkan dengan pelaburannya di United Kingdom.

“Sejak 2012, pelaburan IJM di negara berkenaan dibiayai terutamanya melalui kemudahan pembiayaan yang diperoleh daripada institusi kewangan Malaysia sebelum disalurkan kepada syarikat tujuan khas bagi projek berkaitan.

“Pelaburan ini telah melalui proses penilaian perniagaan serta tadbir urus dalaman yang ditetapkan oleh kumpulan,” katanya.

IJM menegaskan komitmennya untuk mengekalkan standard tinggi tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti dalam semua urusan perniagaan.

Syarikat itu turut memaklumkan operasi perniagaan berjalan seperti biasa dan sebarang perkembangan material akan diumumkan mengikut keperluan pendedahan yang ditetapkan. -MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast