SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas daging serta tulang lembu sejuk beku bernilai lebih RM10,000 yang didapati diimport menggunakan dokumen tidak lengkap dalam satu pemeriksaan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ), KLIA Kargo semalam.
Dalam kenyataan hari ini, AKPS memaklumkan rampasan itu dilakukan menerusi Bahagian Pemeriksaan Barangan hasil pemeriksaan yang dijalankan sekitar jam 9 malam terhadap satu konsainan barangan dibawa masuk dari Australia oleh sebuah syarikat tempatan.
Menurut AKPS, pemeriksaan awal mendapati pihak pengimport mengemukakan dokumen yang mengelirukan serta tidak lengkap, menimbulkan keraguan terhadap pematuhan prosedur pengimportan yang ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 109.44 kilogram daging dan tulang lembu sejuk beku telah dirampas dengan nilai anggaran RM10,342.08,” menurut kenyataan itu.
Kesemua barangan rampasan berkenaan telah ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan kesalahan mengemukakan dokumen mengelirukan bagi tujuan pengimportan barangan.
AKPS menegaskan, pihaknya akan terus memperkukuh kawalan serta pemeriksaan di pintu masuk negara, khususnya melibatkan komoditi makanan, bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan pengimportan dipatuhi sepenuhnya.
Langkah itu, menurut AKPS, penting bagi menjamin keselamatan makanan, melindungi kepentingan pengguna serta memastikan kepentingan awam sentiasa terpelihara. -MalaysiaGazette
















