KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka tidak menghalang Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu untuk lebih lantang menyerang DAP jika kepentingan UMNO terancam.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, kelantangan Dr Akmal selepas ini berbanding ketika beliau bersama pentadbiran kerajaan negeri.
“Peletakan jawatan ini adalah isyarat jelas kepada DAP bahawa jika Dr. Akmal berada dalam Kerajaan Negeri Melaka, mungkin suaranya berbeza.
“Tapi kena ingat pada ketika ini beliau telah berada di luar lingkungan kerajaan negeri, maka suaranya akan lebih tajam, suaranya akan lebih pedas dan berbisa,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Pada 15 Januari lalu, Dr Akmal mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka pada minggu ini.
Dr Akmal berkata, keputusannya meletakkan jawatan itu demi kepentingan parti disebabkan suara akar umbi yang menuntut UMNO tidak lagi bersama-sama dengan DAP.
Zanuriman berkata, sayap UMNO itu akan memastikan Dr Akmal menjadi “loceng kecemasan” untuk memberi peringatan kepada parti itu sekiranya garis merah yang ditetapkan semasa pembentukan Kerajaan Perpaduan dilanggar komponen lain.
“Pemuda adalah salah satu sayap yang paling penting dan watak yang dimainkan perlu dikekalkan.
“Pemuda UMNO adalah anak lelaki kepada Presiden selaku ayah, jadi kalau anak lelaki ini tak lincah, tak hiper, susahlah, ada sesuatu tak kena dengan anak lelaki itu, Pemuda perlu kekal menjadi benteng kepada keluarga tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazzette
















