KUALA LUMPUR – Rapid KL selaku jenama kepada operasi rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya meraih Anugerah Gangsa bagi kategori Pengangkutan dan Pelancongan di majlis anugerah Putra Brand Awards 2025.
Kejayaan sulung itu menjadi detik penting yang melakar pencapaian baharu Rapid KL sebagai antara jenama pengangkutan awam paling diyakini rakyat sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai tulang belakang sistem mobiliti bandar di Lembah Klang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan berkata, anugerah tersebut merupakan satu penghormatan besar daripada rakyat serta
menjadi pemangkin semangat kepada organisasi untuk terus memperkukuh kecemerlangan perkhidmatan.
“Pengiktirafan ini adalah hasil dedikasi, komitmen dan kerja keras seluruh warga kerja Rapid KL yang sentiasa meletakkan kepentingan pengguna sebagai keutamaan. Ia turut menjadi dorongan kepada kami untuk terus melangkah lebih jauh, berinovasi dan mempertingkatkan pengalaman perjalanan rakyat,” katanya.
Beliau menambah, pencapaian itu membuktikan usaha berterusan dalam memperkukuh kebolehpercayaan perkhidmatan, pemantapkan pematuhan operasi serta mempertingkatkan mutu penyampaian mula membuahkan hasil yang bermakna.
Sebagai pengendali pengangkutan awam utama di Lembah Klang yang mengendalikan lebih sejuta perjalanan penumpang setiap hari, Rapid KL kekal komited untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, memperkukuh kecekapan operasi serta memacu inovasi digital ke arah pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan visi untuk menjadi pilihan utama mobiliti bandar.
Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen berterusan Prasarana dalam memastikan jenama Rapid KL kekal relevan, dinamik dan berdaya saing seiring perubahan landskap mobiliti, kemajuan teknologi serta aspirasi masyarakat bandar yang semakin berkembang.
Putra Brand Awards merupakan anugerah jenama berprestij yang dinilai sepenuhnya berdasarkan pilihan pengguna melalui kajian berskala besar yang dijalankan oleh rakan penyelidik bebas. – MalaysiaGazette
















