Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangguhkan pembayaran ganti rugi lebih RM30 juta kepada Pastor Raymond Koh dan isterinya sementara pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dengan keputusan itu, kerajaan buat masa ini tidak perlu mendepositkan ganti rugi tersebut ke dalam akaun Amanah Raya Berhad selaku pemegang amanah.

Hakim Mahazan Mat Taib memutuskan demikian selepas berpuas hati wujud keadaan istimewa bagi membenarkan penangguhan tersebut sehingga rayuan didengar dan dilupuskan.

Ketika membacakan keputusan itu, beliau berpuas hati dengan hujahan kerajaan bahawa pelaksanaan pembayaran ganti rugi terutama melibatkan jumlah yang besar secara harian, tidak sesuai dengan prosedur kewangan dan pentadbiran dana awam.

“Ini bukan sekadar permohonan. Mahkamah berhak menilai perkara praktikal yang luar biasa di pihak kerajaan kerana ia melibatkan proses kelulusan yang pelbagai lapisan, perakaunan dan audit yang mana ia tidak munasabah untuk dijalankan secara harian,” ujar beliau.

Hakim Mahazan selanjutnya menyatakan, meskipun kerajaan dan 12 pihak lagi dibenar menangguhkan pembayaran, hak Pastor Raymond dan isterinya, Susanna Liew Sow Yoke tidak terlucut daripada mendapat hasil daripada tindakan saman yang dikemukakannya.

Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan pasangan itu bahawa hasil penghakiman tersebut tidak dapat diakses dan digunakan secara serta merta, jika penangguhan diberi.

Sebaliknya, mahkamah berpendapat, jika penangguhan tidak dibenarkan, dikhuatiri akan mewujudkan risiko sebenar terhadap rayuan kerajaan dan PDRM di Mahkamah Rayuan.

“Keadaan istimewa ini mewajarkan mahkamah untuk campur tangan dan menangguhkan pelaksanaan penghakiman terhadap pembayaran ganti rugi.

“Saya berpuas hati bahawa imbangan terhadap keadilan jelas memihak kepada pemeliharaan status quo sementara menunggu penentuan rayuan kes saman ini,” ujarnya.

Hakim Mahazan selanjutnya membangkitkan situasi jika rayuan kerajaan dan PDRM dibenar secara keseluruhan atau sebahagian, mahkamah perlu mengembalikan semula pembayaran yang telah dibuat atau mengatur dana dan faedah yang dikenakan.

Jelas beliau, penguatkuasaan penghakiman sementara menunggu rayuan dikhuatiri menimbulkan kerumitan terhadap undang-undang secara praktikal yang mana ia melangkaui kesulitan biasa yang dialami berhubung pembayaran balik.

Kerajaan dan pasukan polis memohon menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi berlainan pada 8 Disember tahun lalu yang memerintahkan ganti rugi lebih RM30 juta dalam kes saman berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh, didepositkan ke dalam akaun Amanah Raya.

Dalam permohonan itu, Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid mewakili kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala peguam Datuk Jerald Gomez bertindak bagi pihak isteri Raymond Koh, Susanna Liew Sow Yoke.

Ketika berhujah pada 22 Januari lalu, Nurul Farhana berkata, kerajaan memohon penangguhan atas alasan kes berkenaan melibatkan jumlah wang awam yang besar selain memerlukan penyelarasan antara beberapa agensi kerajaan bagi menyalurkan dana ke dalam akaun amanah sekiranya pembayaran dibuat.

Bagaimanapun, Jerald yang mewakili keluarga Raymond membantah permohonan penangguhan tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha untuk menafikan keluarga itu memperoleh hasil daripada tindakan undang-undang mereka.

“Permohonan untuk menangguhkan penghakiman sepatutnya dibuat serta-merta selepas Mahkamah Tinggi menyampaikan keputusannya tahun lalu,” katanya, sambil menambah bahawa rayuan telah difailkan dalam tempoh 24 jam selepas itu. Bagaimanapun, permohonan penangguhan hanya difailkan pada 17 Disember tahun lalu.

Pada 5 November tahun lalu, Hakim Datuk Soo Tiang Joo memerintahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi kepada Raymond dan isterinya kerana terlibat dalam penculikan pastor tersebut, lapan tahun lalu.

Beliau mengarahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari bermula kehilangannya pada 13 Februari 2017 hingga polis mendedahkan keberadaannya. Raymond diculik ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.

Mahkamah memutuskan satu atau lebih defendan yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terlibat dalam penculikan Raymond dan bertindak mengikut ‘satu arahan’.

Beliau turut memerintahkan polis membuka semula siasatan kes dan melaporkan perkembangannya kepada Peguam Negara setiap dua bulan.

Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu lima lelaki bertopeng dengan pakaian seragam tentera berwarna hitam menarik Raymond keluar dari keretanya.

Isterinya memfailkan saman terhadap kerajaan dan 12 pihak  kerana terlibat atas kehilangan suaminya serta cara pihak berkuasa menyiasat kes itu.

Pada 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memutuskan Raymond dan seorang aktivis, Amri Che Mat merupakan mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas Bukit Aman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast