Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir (Dua dari kiri) menunjukkan antara rampasan mercun anggaran nilai sehingga RM400,000 di IPD Bera hari ini

KUANTAN – Polis berjaya merampas mercun bernilai ratusan ribu ringgit hasil serbuan ke sebuah premis tingkat bawah di Jalan Highway Triang, Bera kira-kira jam 6 petang pada Jumaat lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, turut ditahan lelaki tempatan berusia 54 tahun yang berada di lokasi ketika serbuan dijalankan.

“Hasil pemeriksaan dalam premis menemui 112 pelbagai jenis mercun dipercayai daripada negara China dan pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang lesen pemilikan atau penjualan mercun,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, keseluruhan mercun yang dipercayai untuk jualan sempena sambutan Tahun Baru Cina itu bernilai anggaran RM300,000.00 sehingga RM400,000.00.

Tambahnya, semua mercun itu telah dirampas untuk siasatan selanjutnya di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun dan denda maksimum tidak melebihi RM10,000.00 jika sabit kesalahan.

Sementara itu, beliau memberitahu terdapat 30 lesen telah diluluskan di daerah itu kepada pihak yang memohon untuk penjualan mercun menjelang musim perayaan kali ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast