SEPANG – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menggalakkan rangkaian kafe tempatan Oriental Kopi memperluaskan operasinya ke lebih banyak hab pengangkutan awam di seluruh negara.
Ini susulan pembukaan cawangan terbaharu jenama itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Beliau berkata, kehadiran jenama tempatan di lokasi strategik seperti lapangan terbang dan hab pengangkutan awam bukan sahaja memberi kemudahan kepada pengguna malah mampu meningkatkan imej serta identiti tempatan di mata pelancong asing.
Menurut Loke, Oriental Kopi dilihat menerima sambutan menggalakkan di pelbagai lokasi, khususnya di lapangan terbang yang mempunyai potensi besar untuk berkembang ke hab pengangkutan lain di bawah seliaan kementerian dan agensi berkaitan.
“Selepas meninjau ‘Laluan Hijau’ di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1, saya bersama pasukan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjamu selera di Oriental Kopi yang baru membuka cawangan terbarunya di Terminal 1,” katanya hari ini.

Sebelum ini, pengasas Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan mendedahkan pembukaan cawangan di KLIA merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk memperluaskan jenama ke lokasi bertrafik tinggi.
Ini khususnya di pintu masuk utama negara yang melibatkan pergerakan penumpang domestik dan antarabangsa.
Beliau turut melihat potensi besar untuk jenama tempatan berkembang di hab pengangkutan awam lain, selari dengan peningkatan jumlah penumpang serta pemulihan sektor pelancongan.
Dalam pada itu, Loke berkata pengalaman menikmati perkhidmatan di cawangan berkenaan memperlihatkan keupayaan jenama tempatan untuk bersaing dan menjadi sebahagian daripada ekosistem perkhidmatan di fasiliti pengangkutan awam.
“Oriental Kopi mendapat sambutan yang hangat di merata tempat, khususnya di beberapa lapangan terbang. Saya telah mengajak pengasasnya, Datuk Calvin Chan untuk membuka cawangan di hab-hab pengangkutan awam yang lain,” ujarnya.
Loke menegaskan penglibatan lebih banyak jenama tempatan di fasiliti pengangkutan awam mampu meningkatkan pengalaman pengguna, selain menyokong pertumbuhan perusahaan tempatan dan merancakkan aktiviti komersial di lokasi bertrafik tinggi. -MalaysiaGazette
















