KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendapat ganti rugi RM550,000 selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan samannya terhadap aktivis Chegubard dan pempengaruh, Nurpais Ismail.
Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi memberikan ganti rugi RM300,000 sebagai ganti rugi am, RM150,000 (ganti rugi teruk) dan RM100,000 (ganti rugi teladan) serta kos RM40,000 selepas berpuas hati kenyataannya memfitnah Farhash (plaintif) dengan maksud yang merosakkan dan boleh diambil tindakan.

Beliau berkata, naratif yang dikemukakan oleh defendan pertama (Badrul Hisham) menggambarkan plaintif mencapai kejayaan melalui hubungan politik dan bukannya merit, memanipulasi proses politik untuk kepentingan peribadi.
“Serangan ke atas watak plaintif bertujuan untuk menggambarkan beliau sebagai tidak jujur, tidak beretika dan tidak layak untuk memegang jawatan awam secara amanah.
“Tuduhan ini jelas cenderung untuk merendahkan plaintif dalam kalangan ahli masyarakat, mendedahkannya kepada kebencian, cemuhan dan kutukan sehingga merosakkan reputasi perniagaan, profesional dan peribadinya.
“Kenyataan itu menuduh plaintif melakukan rasuah, kronisme, manipulasi proses demokrasi dan salah guna kuasa yang merupakan antara dakwaan paling serius yang boleh dibuat terhadap seorang tokoh awam dalam masyarakat,” katanya.
Arziah berkata, kenyataan fitnah itu dengan jelas merujuk kepada plaintif kerana defendan pertama secara eksplisit menamakannya beberapa kali sepanjang temu bual, menggunakan nama ‘Farhash’ yang dikenali ramai.
Ujar beliau, defendan pertama memberikan butiran pengenalan khusus, termasuk peranan plaintif sebagai setiausaha politik dan kedudukannya sebagai bekas Ketua PKR Perak.
“Kenyataan itu juga merujuk kepada dakwaan penglibatan plaintif dalam pemilihan dalaman PKR dan pertikaian dengan rakan profesional,” katanya.
Mahkamah berpuas hati, defendan pertama membuat kenyataan fitnah semasa temu bual yang dirakam kerana mengetahui ia akan disiarkan kepada khalayak ramai manakala peranan defendan kedua dalam penerbitan ini adalah setanding selaku pengendali platform dan individu yang menjalankan temu bual.
“Defendan kedua kemudian menambah tajuk sensasi yang direka untuk memaksimumkan ketegangan dan penonton sekali gus memburukkan lagi bahaya yang disebabkan oleh penerbitan itu. Defendan kedua bermotifkan keuntungan komersial.
“Beliau dengan sengaja mengeksploitasi reputasi plaintif dan sifat dakwaan untuk memenuhi tujuan komersialnya sendiri tanpa menghiraukan kemudaratan yang ditimbulkan ke atas plaintif.
“Walaupun menerima surat tuntutan plaintif pada 12 Mei 2025, defendan tidak mengambil apa-apa langkah untuk mengalih keluar notis itu,” ujarnya.
Oleh yang demikian, mahkamah mendapati penerbitan itu jelas dan menyeluruh terhadap defendan pertama sebagai pencetus kenyataan fitnah dan defendan kedua sebagai penerbit yang menyebarkan kenyataan tersebut kepada khalayak luas melalui platform YouTube.
Beliau berpendapat, kerosakan kepada reputasi plaintif adalah berterusan dan berkemungkinan kekal dalam era digital yang mana kandungan dalam talian berterusan selama-lamanya dan boleh ditemui oleh sesiapa sahaja yang mencari nama plaintif.
“Rakan kongsi perniagaan, pelabur dan kenalan mungkin menghadapi bahan fitnah dan membentuk tanggapan negatif plaintif tanpa menyedari bahawa dakwaan tersebut adalah palsu dan tidak berasas.
“Ini mewujudkan keraguan yang berterusan terhadap reputasi plaintif sepanjang hayat dan secara profesional yang mana kenyataan fitnah telah menyebabkan kerosakan serius dan berterusan kepada reputasi plaintif dan kedudukan korporatnya,” kata Arziah yang menyampaikan keputusannya selepas plaintif memberikan keterangan dalam perbicaraan pada 12 Januari lalu.
Tuntutan itu difailkan pada 26 Mei tahun lalu atas dakwaan bahawa defendan pertama telah membuat dan menerbitkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya semasa temu bual yang dijalankan oleh defendan kedua pada 7 Mei tahun laluyang d imuat naik ke akaun YouTube defendan kedua. – MalaysiaGazette
















