Marzuki Mohamad

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang diserang secara konsisten dari dalam dan luar parti dengan satu tujuan jelas mahu beliau keluar daripada arena politik.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Marzuki Mohamad mendedahkan, dalam Bersatu, timbalan presiden yang sepatutnya membantu presiden telah menggunakan ‘tangan-tangan kotor’ menyerang Muhyiddin manakala pemimpin Pas turut mengeluarkan kenyataan seperti “berambus” dan “your time is finished”.

“Kawan makan kawan merupakan sindiran kasar pemimpin Pas terhadap bekas Perdana Menteri itu”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, walaupun pergaduhan dalaman Pas di Perlis menjadi punca, Muhyiddin tetap menanggung kesannya.

“Muhyiddin manusia biasa. Bukan malaikat. Bukan juga ulamak yang boleh melindungi kelemahannya di sebalik jubah dan serban yang besar. Diminta berambus, beliau berambus,” katanya.

Marzuki turut memetik usaha Pas mendapatkan endorsement Muhyiddin di London selain kunjungan Mursyidul Am Pas dan rombongan pimpinan Pas ke rumah Muhyiddin baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, hasil perbincangan tidak membawa keputusan harmoni.

“Sekali lagi Muhyiddin dipersalahkan oleh Pas. Kemudian disambut pula dengan desakan dari dalam Bersatu supaya Muhyiddin meletakkan jawatan Presiden.

“Ramai yang sedang menunggu untuk bertepuk tangan menyaksikan projek Muhyiddin Exit berjaya,” ujarnya.

Marzuki menjelaskan bahawa bagi Pas, masalah Perikatan Nasional (PN) akan selesai apabila Muhyiddin berundur dan Pas boleh melantik Pengerusi PN baru.

Beliau juga menegaskan, cadangan mewujudkan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif hanyalah bertujuan mengehadkan kuasa Muhyiddin bukan memperkasakan PN.

Malah Marzuki turut membincangkan kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Timbalan Presiden Bersatu yang menurutnya hanya menumpukan usaha menjadi presiden dengan nilai tinggi di mata UMNO sementara kemungkinan menjadi calon Perdana Menteri Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU-16) dilihat tipis.

Marzuki meramalkan bahawa selepas Muhyiddin keluar, Bersatu akan dibubarkan, ahli-ahlinya diserap ke UMNO manakala Pas berdepan kekalahan besar dalam PRU-16 dan mungkin terpaksa bekerjasama dengan UMNO.

“Kalau saya boleh menasihati Muhyiddin, exitlah. Tiada guna memimpin sekelompok manusia yang tidak tahu menilai kepimpinan anda. Malah mereka menganggap anda adalah liabiliti terbesar mereka. Just wish them a very good luck,” kata Marzuki. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast