Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – DAP menjelaskan, pihak-pihak yang berminat untuk menyertai mana-mana parti, perlu mengisi borang keahlian mengikut tatacara yang diamalkan.

Timbalan Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Hannah Yeoh berkata, mereka boleh berhubung dengan urus setia parti berkenaan untuk mendapatkan borang.

“Sesiapapun kalau nak masuk apa-apa parti politik, ada borang keahlian (yang perlu diisi), mereka boleh berhubung terus dengan urus setia untuk mendapatkan maklumat atau borang daripada parti berkenaan,” ujarnya.

Hannah berkata, penyertaan dalam DAP juga tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mengemukakan permohonan keahlian kepada parti itu.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui wakil media selepas merasmikan Karnival Kuala Lumpur Madani di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di sini hari ini sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu menyatakan demikian ketika mengulas laporan media semalam bahawa beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Selangor menyatakan hasrat untuk menyertai DAP.

Pengerusi DAP cawangan Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin mendakwa beberapa pimpinan Bersatu Selangor telah bertemu dengannya bagi menyatakan hasrat meninggalkan parti itu dan menyertai DAP.

Muhammad Najmi yang memimpin cawangan DAP dengan keahlian Melayu paling ramai berkata, beliau menerima secara terbuka penyertaan pimpinan serta akar umbi Bersatu yang kini semakin jelas dan yakin dengan hala tuju DAP.

Menurut beliau, penyertaan itu dialu-alukan sekiranya dibuat secara ikhlas dan berpandukan kefahaman jelas terhadap hala tuju parti.

“Mereka memaklumkan Bersatu kini berada dalam keadaan berserabut, bukan sahaja berdepan hubungan yang keruh dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN), malah konflik dalaman antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut menjejaskan akar umbi,” katanya.

Muhammad Najmi berkata, pimpinan dan ahli Bersatu di peringkat bawahan dilihat semakin hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti itu susulan pertelingkahan berterusan dalam kalangan pimpinan tertinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast