KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan satu akaun syarikat dan satu akaun perbankan milik seorang individu dianggarkan kira-kira RM1 juta.
Ia susulan siasatan terkini isu pengurusan sisa elektronik (e-waste) yang melibatkan Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, seorang penolong pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan juga seorang orang awam.
Menurut sumber, siasatan yang dijalankan bermula sejak 19 Januari lalu turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170,000.
“Setakat ini SPRM telah membekukan satu akaun syarikat bernilai kira-kira RM700,000 dan satu lagi akaun milik individu bernilai kira-kira RM300,000.
“Pada masa yang sama, siasatan SPRM kini menjurus kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas syarikat pengurusan buangan terjadual yang terlibat dengan aktiviti pelupusan bahan buangan secara haram,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah dan penolong pegawai JAS telah ditahan reman tujuh hari hingga Khamis depan manakala seorang lagi orang awam direman selama tiga hari sehingga Ahad ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Sesyen 16 Akta SPRM 2009.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM menjalankan siasatan berhubung kegiatan pengimportan sisa elektronik (e-waste) secara haram.
Ia susulan risikan yang mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste telah diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.
Hasil risikan terbaharu agensi itu mendedahkan, warga asing disyaki menjadi dalang mengimport e-waste, plastik dan kertas secara haram untuk diproses bagi tujuan kitar semula.
Ia termasuk pihak berkuasa disyaki bersubahat, berkait kes pencemaran berterusan angkara e-waste dibawa masuk secara haram ke negara ini.
Isnin lalu, sebanyak 16 akaun bank dibekukan membabitkan nilai kira-kira RM10.2 juta selain wang tunai bernilai RM87,000 dan barang kes bernilai kira-kira RM220,000 disita.
Ia dilakukan susulan siasatan dakwaan rasuah dalam pemprosesan e-waste, pembuangan sisa efluen serta buangan berjadual melalui Op Nature.
Selain itu, pada 22 Januari lalu, enam individu pemilik syarikat dipercayai dalang kemasukan e-waste ke dalam negara ditahan.-MalaysiaGazette
















