KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup empat premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing menerusi Ops Gasak di sekitar Jalan Taman Seri Sentosa, Seputeh, Khamis lalu.
Operasi yang sama turut menyita premis yang membuat halangan tred perniagaan di tempat awam.
Selain itu, DBKL berkata, sebanyak 21 notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan am.
“Seperti premis tiada lesen perniagaan, premis yang dikendalikan oleh warga asing dan pemilik melantik pekerja bukan warga negara tanpa kebenaran,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Menurut DBKL, operasi tersebut dijalankan secara bersepadu melibatkan kerjasama dari Jabatan Dalaman DBKL dengan Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Ia bertujuan untuk memantau dan melaksanakan pemeriksaan
ke atas aktiviti premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing, premis tiada lesen, menyebabkan halangan tred di tempat awam, kebersihan premis perniagaan, suntikan tyhpod pengendali makanan, penjualan barang kawalan, penggunaan alat sukat dan timbang, barangan tidak bayar cukai atau duti eksais.
“Turut memantau sekiranya berlaku kegagalan mengemukakan dokumen perjalanan atau permit kerja, tiada pendaftaran syarikat serta lain-lain kesalahan am,” jelasnya.
Katanya, tindakan penguatkuasaan menerusi kesalahan dibawah peruntukan UUK Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL), UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
Tambah DBKL, JIM dalam operasi yang sama turut menahan 20 orang warga asing kerana menyalahgunakan permit kerja dan tinggal melebihi masa yang telah ditetapkan.
“Terdiri daripada warganegara Indonesia. Kesemua warga asing tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur bagi dokumentasi dan rekod,” katanya.
Di samping itu, katanya, KPDN pula mengeluarkan tiga notis kompaun berkaitan kesalahan melibatkan penandaan harga dan alat timbang sukat.
“Dan pihak SSM pula, mengeluarkan 11 notis kompaun semasa pemeriksaan terhadap 22 buah premis melibatkan kesalahan gagal mendaftarkan perniagaan, tidak mempamerkan sijil perakuan pendaftaran perniagaan, tidak mempamerkan papan tanda nama perniagaan dan nombor pendaftaran perniagaan, tidak mencatatkan nama perniagaan dan nombor pendaftaran di resit rasmi perniagaan menerusi di bawah kesalahan Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 2016,” tambahnya.
DBKL berkata, barangan dan peralatan perniagaan yang disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk tindakan lanjut dan proses dokumentasi. – MalaysiaGazette
















