KUALA LUMPUR – Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berhubung kajian kebolehlaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur wajar diteliti dengan lebih berhati-hati dan rasional.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, cadangan menteri DAP itu tidak sewajarnya dilakukan secara tergesa-gesa dengan berselindung di sebalik reformasi.
“Kekeliruan siapa perlu didengar oleh Datuk Bandar sebenarnya berpunca daripada kegagalan menyusun struktur kuasa dan semak imbang yang jelas antara Kerajaan Persekutuan, ahli Parlimen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Mengadakan pilihan raya Datuk Bandar tanpa membetulkan kecelaruan ini hanya memindahkan masalah, bukan menyelesaikannya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Hannah mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dan ia dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.
Jelas Hannah, struktur pentadbiran sedia ada melibatkan terlalu banyak unit, dengan ibu negara pada masa ini ditadbir secara serentak oleh seorang datuk bandar, ahli-ahli Parlimen serta penasihat DBKL.
Selain itu, Sukri juga berkata, memilih Datuk Bandar secara langsung tanpa majlis bandar raya dipilih rakyat, berpotensi mewujudkan satu pusat kuasa yang lebih kuat dan sukar dikawal.
“Ini bercanggah dengan prinsip tadbir urus baik yang menuntut kuasa diagih dan diawasi, bukan dipusatkan pada satu individu walaupun dipilih melalui pilihan raya,” katanya.
Menurut Sukri, sebarang perubahan besar termasuk pilihan raya tempatan mesti mengambil kira realiti demografi, kedudukan Melayu Bumiputera serta peranan Raja Berperlembagaan, bukan semata-mata meniru model luar.
“Kuala Lumpur bukan bandar biasa. Ia adalah Wilayah Persekutuan yang mempunyai implikasi Perlembagaan, sejarah dan keseimbangan sosial tersendiri,” katanya.
Katanya, apabila menteri sendiri mengakui kelayakan pengundi masih tidak jelas sama ada berdasarkan pemilikan rumah, status penyewa atau tempat kerja, ini menunjukkan cadangan ini masih mentah.
“Demokrasi tidak boleh dibina atas asas yang kabur dan berpotensi menafikan hak sebahagian warga kota,” katanya.
Beliau juga berkata, penubuhan jawatankuasa pemantauan DBKL yang dipengerusikan ahli Parlimen mesti benar-benar berfungsi sebagai mekanisme semak imbang profesional.
“Ia tidak sepatutnya menjadi saluran pengaruh politik atau bayangan kuasa eksekutif baharu yang menenggelamkan peranan Datuk Bandar dan pentadbiran bandar,” katanya.
Menurut Sukri lagi, bantahan ini bukan penolakan membuta tuli terhadap demokrasi tempatan, sebaliknya pembaharuan mesti berasaskan keadilan, kestabilan, Perlembagaan dan realiti masyarakat Malaysia.
“Kuala Lumpur tidak memerlukan eksperimen politik tergesa gesa. Ia memerlukan tadbir urus yang kemas, telus dan berwibawa demi kepentingan semua warga kota.
“Reformasi yang baik ialah reformasi yang menyatukan, bukan mencetuskan kecelaruan baharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















