ALOR GAJAH – Polis menahan ibu dan ibu saudara kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang lemas di kolam air panas di sini malam tadi bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan penganiayaan dan pengabaian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Ahmad Abu Bakar berkata, ibunya berusia 27 tahun dan ibu saudara mangsa, 22 tahun ditahan bagi tujuan rakaman percakapan hari ini.
“Dua beradik itu berada di tempat kejadian telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Rakaman percakapan berkaitan kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkannya cedera fizikal dan emosi dijangka selesai petang ini.
“Selepas itu, kedua-duanya akan dilepaskan dengan jaminan polis bagi memberi ruang kepada keluarga menguruskan pengebumian mangsa di Felda Keratong, Pahang petang ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7.40 malam tadi, mangsa yang datang bercuti ke Melaka dari Pahang bersama keluarganya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam.
Petugas Sukarelawan Paramedik Komuniti Melaka (Parakom) yang berada dilokasi kemudian berusaha menyelamatkan mangsa dengan bantuan pernafasan kecemasan yang ketika itu tidak sedarkan diri dan mulutnya sudah berbuih.
Ambulans Hospital Alor Gajah yang tiba bersama bersama pasukan perubatan kemudian membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.24 malam. – MalaysiaGazette
















