JOHOR BAHRU – Lokasi penemuan enam rangka yang menjadi kes bunuh dan bakar di sebuah rumah dalam kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, di sini awal bulan lalu, terpencil dan bersebelahan kuil terbiar.
Tinjauan Malaysia Gazette di kawasan tersebut mendapati, jalan masuk ke rumah itu tidak berturap kira-kira tiga kilometer selain berdebu dan tidak jauh dari sebuah kuil yang sudah tidak lagi digunakan.
Penelitian mendapati pintu masuk ke rumah tersebut sudah dikunci dan terdapat garisan pita kuning yang menghalang orang ramai masuk ke tempat kejadian.
Masih terdapat sisa kebakaran di kawasan berkenaan yang belum dibersihkan dan difahamkan kerja-kerja forensik sudah dilakukan di kawasan rumah berkenaan.
Tragedi yang melibatkan seorang wanita, empat anaknya dan seorang kenalan terbongkar selepas Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad mengadakan sidang akhbar semalam.
Ab Rahaman berkata, suami kepada seorang daripada enam mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lalu, setelah menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anak-anaknya yang dilaporkan hilang.
Susulan penemuan itu, beliau berkata, pasukan patologi forensik dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menjalankan pemeriksaan dan bedah siasat ke atas rangka yang dijumpai di rumah yang terletak berhampiran sebuah kuil terbiar itu.
Katanya, siasatan mendapati enam mangsa itu terdiri seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan seorang lelaki dewasa berusia 28 tahun.
Beliau dilaporkan berkata, polis masih menyiasat tempoh masa semua mangsa ini dilaporkan hilang, namun dipercayai sudah meninggal dunia lebih tiga bulan sebelum ditemukan.
Susulan siasatan dan risikan lanjut, polis menahan empat suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 dan 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Januari lalu bagi membantu siasatan.
Hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah.
Susulan itu dua suspek yang ditahan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki iaitu satu daripada enam rangka manusia yang ditemui di rumah berkenaan.
Tertuduh, R Utes, 36, dan R Arasan, 32, yang merupakan adik beradik didakwa menyebabkan kematian V Thamil Selvan, 39, di rumah berkenaan antara pukul 12.30 tengah malam hingga 4 pagi, pada 15 September 2025.- MalaysiaGazette
















