Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk G. Parameswaran bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan di Menara PGRM, Cheras. foto FAREEZ FADZIL, 17 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa bertindak tegas berhubung perhimpunan yang didakwa berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Parameswaran Ganason menuntut langkah segera diambil bagi menghentikan tindakan pihak yang dikaitkan dengan isu berkenaan.

Beliau memandang serius penganjuran perhimpunan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan yang diketuai Zamri Vinoth di ibu negara pada Sabtu ini yang kononnya bertujuan memberi tekanan kepada pihak berkuasa berkaitan isu rumah ibadat yang didakwa tidak sah.

Menurutnya, meskipun hak berhimpun dijamin undang-undang, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan provokasi berunsur sensitif melibatkan kaum dan agama.

“Walaupun Akta Perhimpunan Aman 2012 memperkukuhkan hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, undang-undang ini tidak boleh disalahgunakan sebagai medan untuk memprovokasi isu kaum dan agama,” tegasnya.

Beliau berkata, isu berkaitan rumah ibadat perlu ditangani secara menyeluruh dengan mengambil kira kronologi, sejarah, faktor penempatan serta peranan komuniti setempat selain menghormati tradisi keharmonian antara agama yang telah lama terjalin.

Dalam masa sama, Parameswaran mendakwa terdapat rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat India terhadap tindakan segelintir pihak yang dilihat memperkecilkan kepercayaan agama lain.

“Masyarakat India tersinggung dengan tindakan segelintir yang seolah memperkecilkan kepercayaan orang lain, namun belum ada lagi tindakan pantas dari pihak kerajaan,” ujarnya.

Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan cabaran sosioekonomi yang menurutnya masih dihadapi masyarakat India walaupun pelbagai janji telah dibuat kerajaan.

“Perhimpunan seperti ini hanya akan mencurahkan minyak ke dalam api, memburukkan lagi rasa terpinggir dan seterusnya menggugat kepercayaan sesebuah komuniti terhadap sistem pemerintahan. Mana pergi larangan 3R yang dilaungkan selalu?” soalnya.

Sehubungan itu, Parameswaran menggesa kerajaan menyatakan pendirian jelas dan tegas, sambil menegaskan dialog serta pendekatan persefahaman adalah jalan terbaik dalam menangani isu sensitif demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

Zamri Vinoth, sebagai penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram mengesahkan bahawa polis telah dimaklumkan tentang perhimpunan tersebut seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata, kira-kira 141 NGO dijangka menyertai perhimpunan tersebut, yang dijadualkan bermula pukul 8 malam bagi memastikan undang-undang terhadap pencerobohan dan pembinaan rumah ibadat secara haram dikuatkuasakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast