Mohd Fared menyampaikan bantuan dalam Majlis Amanat 2026 dan Pengumuman Kadar Fitrah Bagi Tahun 2026 di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesan lapan ajaran yang difatwakan sesat masih wujud di Johor namun kebanyakannya tidak aktif.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia melibatkan ajaran Hizbur Tahrir, Syiah, Wahabi, Millah Abraham, SiHulk, GISBH, Qadiani dan The Ahmadi Religion Of Peace And Light.

“Trend terkini menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak melihat peningkatan mendadak dan tiada bukti tentang gelombang besar ajaran sesat baru yang belum dikenal pasti tetapi terdapat usaha-usaha percubaan untuk membawa masuk atau menyebar kembali ajaran-ajaran yang telah difatwakan sesat sebelum ini.

“Contohnya, aktiviti berkaitan penyebaran semula ajaran The Ahmadi Religion Of Peace And Light telah dikesan melalui poster yang tertampal di beberapa lokasi di Muar baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat 2026 dan Pengumuman Kadar Fitrah Bagi Tahun 2026 di Pusat Islam Iskandar Johor di sini hari ini.

Mohd Fared berkata, antara faktor yang menyebabkan masih ada segelintir masyarakat terjebak dengan ajaran sesat ialah kurang pengetahuan tentang agama, mengalami tekanan hidup yang serius, ajaran sesat menjanjikan perkara luar biasa seperti pengampunan dosa tanpa usaha.

Selain itu, katanya, pengaruh pemimpin yang berkarisma seperti petah bercakap serta pandai memanipulasi emosi, mendakwa memiliki ilmu istimewa, karamah atau menerima wahyu tertentu.

“Tekanan sosial dan pengaruh persekitaran turut menjadi faktor individu boleh terpengaruh ajaran sesat. Apabila keluarga, rakan atau komuniti terdekat terlibat, seseorang mungkin mengikut ajaran tersebut kerana takut disisihkan atau untuk menjaga hubungan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, kerajaan negeri mempergiat usaha membanteras ajaran sesat melalui pendekatan penguatkuasaan, pencegahan dan pemulihan akidah secara bersepadu bagi melindungi kesucian Islam di negeri ini.

Jelasnya, usaha tersebut digerakkan menerusi JAINJ dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi berkaitan.

“Pemantauan dilakukan secara berterusan terhadap sebarang aktiviti mencurigakan termasuk yang disebarkan menerusi media sosial.

“Tindakan penguatkuasaan diambil berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 terhadap individu atau kumpulan yang didapati menyebarkan fahaman bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Kerajaan negeri turut menggunakan mekanisme fatwa dan pewartaan bagi mengisytiharkan sesuatu ajaran sebagai sesat supaya tindakan undang-undang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, selain tindakan tegas, aspek pendidikan dan kesedaran masyarakat menjadi keutamaan melalui program seminar, kelas takmir, khutbah Jumaat serta kempen penerangan di media sosial.

Katanya, pendekatan itu bertujuan memperkukuh kefahaman umat Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan doktrin yang menyeleweng,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast