Oleh: Ismail Hashim Yahaya
PEMBUKAAN Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai pusat pelancongan bukan sekadar keputusan pentadbiran bandar. Ia ialah tindakan simbolik yang menandakan perubahan cara negara mengurus sejarah. Daripada perspektif semiotik, bangunan ini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi tanda kebudayaan yang memikul memori kolonial, pembentukan negara bangsa, serta imaginasi kolektif tentang kuasa dan keadilan.
Dibina pada 1897 oleh pentadbiran British, bangunan ini pada asalnya menjadi pusat pentadbiran kolonial Selangor sebelum berfungsi sebagai pejabat kerajaan persekutuan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Dalam tempoh yang panjang, ia ialah ruang autoriti — tempat keputusan politik dan kehakiman dibuat, dan di mana kuasa negara dipersembahkan secara fizikal kepada rakyat.
Dalam bahasa naratif bandar, Bangunan Sultan Abdul Samad pernah melambangkan struktur pemerintahan moden yang diperkenalkan penjajah: undang-undang, birokrasi dan hierarki kuasa. Seni bina Moorish yang megah bukan sekadar estetika, tetapi bahasa visual kolonial — menggabungkan Timur dan Barat untuk mempamerkan dominasi empayar dalam bentuk yang kelihatan “harmoni”. Namun kini, makna itu sedang berubah.
Transformasi bangunan ini daripada pusat autoriti dan kehakiman kepada destinasi pelancongan bukan sekadar soal fizikal, tetapi soal makna. Pengunjung hari ini tidak hanya melihat seni bina yang megah; mereka sedang menyertai pelancongan makna — membaca simbol kuasa, sejarah pentadbiran, dan naratif negara yang tersirat di setiap ruang.
Dalam bahasa semiotik, ini ialah proses re-signification: sejarah tidak dipadam, tetapi disusun semula agar serasi dengan ekonomi visual dan industri pengalaman. Namun pada masa yang sama, terdapat risiko komodifikasi simbol.
Apabila warisan dijadikan produk pelancongan, sejarah boleh diringkaskan menjadi naratif selesa; kolonialisme menjadi estetika seni bina; perjuangan rakyat menjadi latar swafoto. Tanpa naratif yang mendalam, pelancongan berisiko hanya menjadi konsumsi visual.
Dalam konteks ini, pelancongan makna berfungsi sebagai alat kritikal: ia menuntut pengunjung memahami lapisan sejarah, kuasa dan perubahan politik yang membentuk bangunan ini, bukan sekadar mengagumi bentuknya.
Bangunan Sultan Abdul Samad tidak neutral. Ia membawa memori kuasa, pentadbiran, dan perubahan politik. Jika pusat pelancongan gagal mengangkat lapisan naratif tersebut — termasuk sisi gelap kolonialisme dan proses pembentukan negara — ia berisiko menjadi sekadar ruang nostalgia tanpa kesedaran kritikal.
Dari sudut naratif negara, pembukaan ini mencerminkan cara Malaysia ingin “menceritakan dirinya” kepada dunia: sebagai negara stabil, berbudaya, dan terbuka. Ia sebahagian daripada diplomasi budaya dan pembinaan imej (nation branding). Dalam konteks ini, bangunan tersebut menjadi alat komunikasi geopolitik lembut (soft power), bukan hanya aset seni bina.
Bagi rakyat pula, maknanya lebih kompleks. Ada yang melihatnya sebagai usaha menghidupkan semula warisan yang lama terbiar. Namun ada juga yang bertanya: adakah ruang simbolik ini masih milik awam atau telah menjadi ruang ekonomi? Adakah sejarah tempatan diraikan atau sekadar naratif rasmi yang ditonjolkan?
Bangunan Sultan Abdul Samad berdiri di tengah Kuala Lumpur sebagai pentas utama acara nasional — sambutan kemerdekaan, perarakan dan demonstrasi. Ia ialah latar simbolik kepada perjalanan negara.
Apabila ia diposisikan semula sebagai destinasi pelancongan, ia juga diletakkan dalam kerangka ekonomi bandar global di mana identiti kota diukur melalui daya tarikan visual dan nilai komersial. Di sinilah pelancongan makna memberi dimensi kritikal: bukan sekadar melihat sebaliknya menafsir dan memahami konteks sejarah.
Kesimpulannya, Bangunan Sultan Abdul Samad kini bukan sekadar warisan fizikal lebih jauh lagi sebagai tapak pelancongan makna. Ia menguji kematangan kita sebagai bangsa: sama ada rakyat mampu membaca simbol masa lalu secara kritikal atau sekadar menelan naratif yang dipermudahkan sebagai latar indah untuk swafoto. Ia mencerminkan dilema pembangunan moden: antara warisan sebagai kesedaran dan warisan sebagai komoditi, antara sejarah sebagai refleksi dan sejarah sebagai produk.
Dalam kerangka semiotik, bangunan ini sedang “ditulis semula”. Persoalannya bukan siapa yang menulis tetapi nilai apa yang dipilih untuk diwariskan. Di situlah ujian sebenar kematangan kita sebagai bangsa.

Penulis ialah mantan pensyarah Universiti Selangor serta penganalisis geopolitik dan hubungan antarabangsa yang menafsir isu semasa melalui pendekatan semiotik dan naratif, dengan fokus kepada hubungan antara kuasa, simbol dan pembentukan makna dalam wacana awam.
















