Antara barangan yang dirampas melibatkan empat rim beserta tayar kereta, tiga unit jack kereta, satu pembuka tayar, 16 biji skru dan satu penukul besi.

KLUANG – Seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau ditahan semasa mencuri barangan sitaan di Depoh Majlis Perbandaran Kluang (MPK) di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek lelaki yang berusia 33 tahun itu tidak sempat mencuri apabila berjaya ditahan pihak polis di depoh berkenaan pada pukul 2.15 pagi semalam.

“Sebelum itu pihak polis terlebih dahulu menerima laporan berkaitan kes kecurian komponen kenderaan di depoh berkenaan kelmarin. Selepas itu pihak polis membuat intipan di tempat sama semalam.

“Jangkaan lelaki berkenaan untuk datang semula melakukan kecurian di depoh berkenaan selepas kejayaan sebelumnya tepat membolehkan dia ditangkap di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu, polis berjaya merampas empat rim beserta tayar kereta, tiga unit jack kereta, satu pembuka tayar, 16 biji skru, satu penukul besi, satu pemutar skru, satu alat pemotong, dua buah beg, satu unit kawalan kenderaan, sarung tangan, topeng muka dan topi.

“Semakan mendapati tangkapan mempunyai rekod lampau dalam kes jenayah dan narkotik manakala ujian saringan air kencing positif dadah jenis methamphetamin,” katanya.

Menurut Bahrin lagi, kes akan disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, tahanan reman ke atas suspek selama empat hari hingga 8 Februari in bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast