Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan potongan tol sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina dengan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM19.5 juta bagi membayar pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat hasil keputusan Mesyuarat Kabinet semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif itu selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam memelihara perpaduan dan kesejahteraan rakyat merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan di negara ini.

Menurut beliau, pemberian diskaun tol tersebut diharap dapat meringankan kos perjalanan rakyat Malaysia yang pulang ke kampung halaman bagi meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga atau bercuti sempena persiapan awal Ramadan.

“Pelaksanaan diskaun tol ini akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam, 14 Februari 2026 (Sabtu) dan berakhir pada pukul 11.59 malam, 15 Februari 2026 (Ahad),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, diskaun 50 peratus itu melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, ia tidak terpakai di plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Pemilihan tarikh tersebut, katanya, bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari puncak perjalanan selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di kawasan hentian sebelah serta Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya.

Dalam pada itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan memanfaatkan aplikasi MyPLUSTTA serta TuJu Highway Navigation App LLM bagi mendapatkan cadangan jadual perjalanan yang lebih selamat dan selesa.

Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi papan tanda, had laju dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS), selain berhati-hati ketika menggunakan lorong Smart Lane.

Pengguna juga disarankan mendapatkan maklumat trafik semasa melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook, X, TikTok atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752, selain laman sesawang rasmi LLM bagi paparan CCTV dan WhatsApp Channel LLM Info Trafik. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast