AMPANG JAYA – Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita warga asing bagi membantu siasatan kes pecah rumah dan curi peti besi susulan penularan video kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tiga lelaki memikul objek disyaki peti besi di sebuah kediaman di Taman Hillview, Hulu Kelang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya mengesan video tular berkenaan di media sosial kelmarin kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum siasatan lanjut dijalankan.
Semakan mendapati laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat lebih awal oleh seorang wanita pada 26 Disember lalu.
“Pengadu memaklumkan kejadian disedari kira-kira jam 12.15 tengah hari ketika dia pergi ke rumah majikannya di Taman Hillview, Hulu Kelang bagi tujuan mengecas bateri kenderaan elektrik (EV) milik majikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular rakaman CCTV di media sosial memaparkan detik tiga lelaki dipercayai perompak mengangkat sebuah peti besi dari kediaman berkenaan yang dikatakan mengandungi emas.
Sebelum ini, seorang usahawan mendakwa mengalami kerugian hampir RM3 juta selepas rumahnya dipecah masuk dan sebuah peti besi seberat hampir 100 kilogram berisi emas serta wang tunai dilarikan dalam kejadian di Taman Hillview, Hulu Klang.
Rompakan itu dilaporkan berlaku pada 23 Disember tahun lalu ketika mangsa, Johan Al Fateh, 34, bersama isterinya pulang ke kampung di Kelantan, namun kejadian hanya disedari tiga hari kemudian apabila seorang pekerjanya datang ke rumah tersebut. – MalaysiaGazette
















