Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir pada Konvensyen Keadilan Selangor 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, Selangor. Foto SADIQ SANI, 07 FEBRUARI 2026

AMPANG – Kerajaan tidak bersetuju dengan pembinaan kuil tanpa kebenaran termasuk rumah ibadat lain seperti masjid dan gereja yang perlu mengikut lunas undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun mengingatkan isu itu perlu ditangani secara berhemah tanpa menimbulkan permusuhan atau hasutan yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Saya tegaskan, kawan-kawan India, saya tidak setuju dengan pertambahan kuil yang tidak mengikut peraturan  yang ditetapkan. Mesti ikut peraturan. Sama seperti masjid, surau atau gereja tetapi jangan timbul permusuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ucaptama Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Naib Presidennya, Datuk Seri Amirudin Shari.

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama perwakilan yang hadir pada Konvensyen Keadilan Selangor 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, Selangor. Foto SADIQ SANI, 07 FEBRUARI 2026

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut memberi amaran terhadap tindakan segelintir pihak yang cuba menjadi ‘hero’ dalam isu kuil yang menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

“Kalau kita langgar peraturan, hasilnya kebencian, masalah tidak selesai. Sebab itu saya terpaksa keluarkan arahan tegas semalam untuk hentikan.

“Sudah lama kita biarkan berlarutan, semua orang nak jadi hero. Sekarang orang pergi kawasan kuil jadi hero ekstrem, akhirnya kita korbankan kepentingan negara,” katanya.

Anwar menegaskan, tanggungjawab utama beliau adalah menjaga keselamatan dan kestabilan negara, bukan memenuhi tuntutan segelintir pihak yang bersuara lantang.

“Musuh-musuh politik akan guna apa saja cara untuk melemahkan kekuatan kita. Sebab itu saya pilih sampaikan secara langsung kepada saudara di Keadilan Selangor kerana saudara mampu betulkan naratif ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.