PUTRAJAYA – Keputusan sama ada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad kekal bebas atau dipenjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta, akan diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan, Selasa ini.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nordin Hassan akan menentukan rayuan akhir pendakwaan yang mahu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Mohd. Isa, 77, daripada kesemua pertuduhan rasuah.
Jika rayuan itu dibenarkan, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu akan ke penjara serta merta melainkan mahkamah memutuskan sebaliknya. Beliau `turun naik’ mahkamah hampir lapan tahun selepas didakwa pada 2018.
Pendakwaan merayu untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas kesalahan rasuah berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Pada Khamis lalu, Hakim Nordin yang bersidang bersama-sama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selesai mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz yang bertindak sebagai perayu dan peguam M. Athimulan yang mewakili Mohd. Isa selaku responden.
Dalam rayuan akhirnya, pihak pendakwaan antara lain menghujahkan, Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya mengusik dapatan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menghukum bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu terhadap kesemua sembilan pertuduhan pada 3 Februari 2021.
Afzainizam berhujah, saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md. Arip yang juga bekas pegawai khas politiknya jelas menyatakan, Mohd. Isa sendiri mengarahkan beliau untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel.
Menurut pendakwaan, SP21 merupakan perantara yang menerima wang daripada Ikhwan (SP16), tiada saksi mata yang melihat penyerahan wang tersebut yang dilakukan sebanyak sembilan kali menguatkan kes pendakwaan bahawa hanya ketiga-tiga mereka sahaja yang mengetahui berhubung wang rasuah tersebut.
Muhammad Zahid kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.
Sementara itu, Athimulan berhujah, rayuan pendakwaan tidak bermerit manakala Mahkamah Rayuan betul ketika membebaskan Mohd. Isa daripada kesemua pertuduhan.
Beliau bersama-sama peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat berhujah, Mahkamah Rayuan tidak melakukan kekhilafan yang mewajarkan Mahkamah Persekutuan untuk campur tangan dan mengubah keputusan tersebut.
Pada 6 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membenarkan rayuan Mohd. Isa selepas berpuas hati, tiada bukti yang menunjukkan terdapat kod perkataan ‘salam’ antara Mohd. Isa dengan Muhammad Zahid yang mengaitkan responden dengan pertuduhan rasuah.
Mohd. Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan melalui Muhammad Zahid sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Persiaran KLCC di ibu negara, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















