Peguam, Haniff Khatri Abdulla turut ditahan pihak polis pada himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 07 FEBRUARI 2026.
Peguam, Haniff Khatri Abdulla turut ditahan pihak polis pada himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 07 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini membenarkan permohonan polis untuk menahan dua aktivis Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth dan Tamim Dahari, selama dua hari bagi membantu siasatan.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan dalam prosiding permohonan lanjutan reman yang berlangsung hari ini.

Peguam yang mewakili kedua-dua aktivis, Haniff Khatri Abdulla berkata, polis sebelum ini memohon supaya Zamri dan Tamim direman selama empat hari bagi tujuan siasatan lanjut.

“Pihak polis memohon lanjutan selama empat hari, namun selepas mendengar hujahan semua pihak, mahkamah hanya membenarkan reman selama dua hari,” katanya kepada media selepas prosiding di luar ibu Pejabat Daerah Dang Wangi (IPD) di sini hari ini.

Menurut Haniff, beliau bersama pasukannya berhujah bagi pihak Zamri, manakala seorang lagi peguam mewakili Tamim dalam prosiding berkenaan.

Beliau berkata tempoh reman lanjutan itu dijangka tamat esok dan pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini kepada keluarga serta penyokong kedua-dua aktivis terbabit.

“Apabila tempoh reman tamat, kita akan lihat sama ada mereka dibebaskan atau tindakan lanjut diambil. Kami akan maklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Mengulas siasatan yang sedang dijalankan, Haniff berkata kes berkenaan disiasat di bawah tiga peruntukan undang-undang, iaitu Seksyen 4 Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Tiga peruntukan ini mempunyai kesan yang hampir sama dari segi implikasi undang-undang. Buat masa ini, kita serahkan kepada proses siasatan dan tunggu perkembangan seterusnya,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya mengambil pendekatan untuk tidak mengulas secara terperinci mengenai siasatan bagi menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.

“Kita tidak mahu mendahului siasatan. Polis juga sedang menjalankan tugas mereka seperti yang dimaklumkan di mahkamah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Haniff turut mengulas keadaan fizikal dan emosi kedua-dua anak guamnya yang ditahan sejak malam sebelumnya.

Beliau berkata, Zamri dan Tamim berada dalam keadaan stabil walaupun kelihatan keletihan selepas melalui tempoh tahanan yang panjang.

“Mereka mula terlibat dalam aktiviti sejak tengah hari semalam, sebelum ditahan pada waktu malam. Mereka hanya dibawa keluar sekitar pukul 3 pagi dan berada dalam tahanan sehingga pagi ini.

“Dari segi fizikal, memang nampak penat, tetapi semangat mereka masih kuat. Mereka berada dalam keadaan baik dan tidak patah semangat,” jelas beliau.

Haniff juga memaklumkan, beliau sendiri berada di lokasi ketika penahanan berlaku dan mengikuti perkembangan kes sejak awal.

“Saya berada bersama mereka ketika itu. Jadi saya tahu bagaimana situasi berlaku dari awal hingga mereka dibawa untuk tahanan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sehingga siasatan selesai.

“Kita tunggu keputusan rasmi daripada pihak berkuasa. Buat masa ini, biarlah proses undang-undang berjalan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast