GEORGE TOWN – Parti Gerakan Rakyat Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri dan agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi menangani kesesakan berulang di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang didakwa menjejaskan imej negeri itu sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan.
Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Negeri Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, kesesakan luar biasa yang kerap berlaku kebelakangan ini menunjukkan kelemahan pengurusan walaupun masalah berkenaan telah lama dibangkitkan.
“Keadaan ini telah menjejaskan imej Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan antarabangsa. Namun, pihak berkuasa masih gagal mengambil sebarang langkah berkesan setakat ini.
“Saya berharap dan menggesa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pelancongan Pulau Pinang, Wong Hon Wai serta Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin agar memandang serius masalah kesesakan yang telah berlarutan sekian lama ini, dan tidak lagi menganggapnya sebagai satu kes terpencil atau masalah sementara.
“Mereka harus mengemukakan pelan penambahbaikan yang konkrit, praktikal dan boleh dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambah beliau, masalah kesesakan di LTAPP bukan isu baharu kerana aduan berkaitan telah lama dilaporkan, namun penyelesaian berkesan masih belum dirangka.
“Beberapa orang pelancong mengadu mereka terpaksa beratur sehingga dua jam untuk melepasi pemeriksaan imigresen dengan barisan di belakang masih panjang.
“Jika kecekapan asas dalam urusan imigresen pun gagal terjamin, ia pasti menjejaskan keyakinan pelabur dan pelancong terhadap Pulau Pinang serta Malaysia secara keseluruhannya.
“Justeru erajaan perlu memberi perhatian serius terhadap keperluan kemudahan fizikal dan kecekapan pengurusan pentadbiran, selain memastikan penyelarasan antara agensi berkaitan dilaksanakan segera bagi mengelakkan masalah sama berulang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Peningkatan jumlah penerbangan punca kesesakan luar biasa di LTAPP – AKPS
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pulau Pinang dalam kenyataan pada Jumaat lalu menafikan dakwaan hanya dua kaunter pemeriksaan dibuka sehingga menyebabkan kesesakan di Balai Ketibaan Antarabangsa, LTAPP di sini.
Sebaliknya, Komander AKPS Pulau Pinang, Zuhair Jamaludin menegaskan, kesesakan luar biasa itu berpunca daripada peningkatan mendadak jumlah penerbangan sejak Januari lalu.
Jelas beliau, pertambahan penerbangan itu melibatkan tiga syarikat penerbangan utama iaitu Spring Airline, Shenzen Airline dan China Southern Airline. – MalaysiaGazette
















