Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan berpendirian, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah menggunakan pegawainya sendiri sebagai orang tengah untuk meminta dana politik daripada seorang ahli perniagaan, 12 tahun lalu.

Hakim Datuk Nordin Hassan berkata, permintaan dana politik itu disampaikan melalui perkataan `salam’ di antara bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md. Arip dan ahli perniagaan, Ikhwan Zaidel.

Ujar beliau, perkataan `salam’ daripada Mohd. Isa difahami oleh Muhammad Zahid yang juga saksi pendakwaan ke-21 (SP21) yang mahukan beliau menghubungi Ikhwan (SP16) bagi bertanyakan mengenai dana politik.

Menurut hakim berkenaan, Muhammad Zahid dalam keterangannya sendiri mengaku beliau bertindak sebagai orang tengah untuk meminta wang daripada Ikhwan dan menyerahkannya kepada Mohd. Isa sebanyak sembilan kali di pejabatnya.

Sambil mengakui penyampaian salam melalui orang tengah adalah satu amalan biasa, panel berpendapat konteks komunikasi itu menunjukkan wujudnya permintaan.

“Kami mengakui bahawa penyampaian salam melalui orang tengah adalah amalan biasa dalam kalangan umat Islam, dalam kes ini ia membawa konotasi berbeza.

“Dalam konteks kes ini, komunikasi responden (Mohd Isa) yang disertai `salam’ terbabit menyokong keterangan bahawa wujud permintaan atau desakan bagi pemberian dana.

“Sebagai pegawai khas kepada responden, mustahil SP21 meminta wang rasuah untuk dirinya sendiri. Ia memerlukan seseorang yang mempunyai kuasa untuk meminta jumlah yang besar seperti itu, yang mana dalam kes ini, respondenlah orangnya,” ujar Hakim Nordin.

Beliau menyatakan demikian ketika membacakan alasan penghakiman sewaktu membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Mohd. Isa.

Panel tiga hakim yang turut dianggotai oleh Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali memerintahkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menjalani hukuman penjara enam tahun serta merta dan denda RM15.45 juta.

Kuorum berkenaan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya atas sembilan pertuduhan rasuah RM3.09 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Isteri Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.

 

Dalam penghakiman itu, Hakim Nordin berkata, Mohd Isa telah beberapa kali menyampaikan `salam’ kepada Ikhwan yang juga pengarah dan pemegang saham Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) yang menjual hotel itu kepada Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Beliau turut menyentuh kredibiliti SP21 dan berpuas hati saksi berkenaan adalah kredibel sebagaimana diputuskan oleh hakim bicara yang berpeluang menentukannya berdasarkan bukti audio visual serta memerhati sendiri kelakuan saksi ketika memberi keterangan.

Berkenaan SP16, hakim berkenaan juga berpuas hati beliau saksi yang kredibel dan mahkamah menerima keterangannya yang bersetuju memberi RM3 juta kepada Mohd. Isa sebagai sumbangan politik.

“Kami menekankan bahawa pertuduhan terhadap
responden berkaitan dengan menerima rasuah, bukan memintanya. Kesalahan meminta habuan dan menerimanya adalah berbeza.

“Elemen meminta tidak perlu dibuktikan dalam kesalahan
menerima habuan. Namun, tanpa bukti pemintaan, kesalahan menerima suapan boleh dibuktikan dengan sendirinya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast