Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari bercakap pada sidang media semasa hadir persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak memberi penjelasan berhubung laporan media antarabangsa yang membangkitkan dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang dikatakan bercanggah dengan peraturan perkhidmatan awam.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara itu perlu dipandang serius kerana melibatkan integriti institusi penguatkuasaan utama negara serta persepsi antarabangsa terhadap komitmen Malaysia dalam memerangi rasuah.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri, yang telah melanjutkan tempoh perkhidmatan Tan Sri Azam Baki beberapa kali, didesak untuk tampil memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat mengenai beberapa perkara.

“Pertama, status sebenar dakwaan pemilikan saham tersebut sama ada ia melanggar mana-mana pekeliling atau peraturan penjawat awam.

“Kedua, status pematuhan terhadap kewajipan pengisytiharan harta dan tindakan yang telah atau akan diambil oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan Bloomberg mendakwa Azam, 62, memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan tahunan syarikat itu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 3 Februari tahun lalu, dengan nilai pegangan dianggarkan hampir RM800,000.

Jumlah ini dilaporkan melebihi siling pemilikan saham penjawat awam yang ditetapkan sekitar RM100,000 bagi mengelakkan konflik kepentingan.

Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, laporan itu turut menimbulkan persoalan sama ada Azam mematuhi keperluan pengisytiharan aset berkala, sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun, satu kewajipan yang menjadi asas ketelusan dalam perkhidmatan awam.

“Perkara ini bukan isu peribadi semata-mata, tetapi menyentuh integriti institusi penguatkuasaan tertinggi negara dalam memerangi rasuah.

“SPRM adalah badan yang menuntut ketelusan dan akauntabiliti daripada semua pihak termasuklah kepimpinan tertingginya yang juga mesti bebas daripada sebarang keraguan, termasuk dari sudut konflik kepentingan,” kata beliau.

Beliau menegaskan,  pendedahan itu menimbulkan persepsi awam bahawa isu integriti tidak dicabar secara rasmi, sekali gus menambah keraguan terhadap tahap ketelusan kerajaan dalam menjawab dakwaan sedemikian.

“Sekiranya kerajaan terus berdiam diri tanpa sebarang penjelasan yang telus dan meyakinkan, maka Tan Sri Azam Baki wajar mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan, atau perkhidmatannya ditamatkan serta-merta demi menjaga nama baik SPRM dan integriti institusi negara,” katanya.

Fadhli menegaskan rakyat berhak mendapat jawapan yang telus. “Integriti institusi negara tidak boleh dibiarkan terus dipersoalkan tanpa penjelasan rasmi daripada kerajaan,” katanya lagi. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast