KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang merangkap Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, didakwa sedang mengatur langkah meninggalkan Perikatan Nasional (PN) bersama kira-kira 15 Ahli Parlimen dalam tempoh terdekat.
Menurut sumber tertinggi yang enggan dinamakan berkata, Ahli Parlimen Larut dikatakan mengetuai pergerakan tersebut dan berkemungkinan menyertai parti lain tidak lama lagi.
“Kamu tunggu dalam masa terdekat ini. Parti yang bakal disertai itu juga difahamkan akan memberikan jawatan tertinggi kepada Datuk Seri Hamzah.
“Ada juga desas-desus mengatakan mereka mungkin menyertai Pakatan Harapan. Kita tunggu dan lihat,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Dakwaan itu muncul ketika Hamzah dikaitkan dengan kemungkinan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Bersatu bagi membantu siasatan berhubung kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti serta dakwaan serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau dijadualkan memberi keterangan Khamis ini, jam 12 tengah hari di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
Berdasarkan surat yang didakwa sebagai notis panggilan kali kedua bertarikh 6 Februari, empat aduan bertulis telah dikemukakan terhadap Hamzah pada 30 September 2025 dan 5 Februari lalu.
Antara rumusan aduan itu termasuk dakwaan bahawa beliau gagal mengawal pemimpin dan ahli parti daripada mengeluarkan kenyataan yang menyerang Muhyiddin, sekali gus menjejaskan imej Bersatu.
Ahli Parlimen Larut itu juga didakwa gagal menghalang rundingan dengan presiden parti komponen PN tanpa mandat rasmi, termasuk perbincangan berkaitan Majlis Eksekutif PN yang sebelum ini tidak dipersetujui oleh Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Selain itu, beliau turut dikaitkan dengan dakwaan mencemarkan imej presiden parti susulan kenyataan bahawa dirinya tidak dijemput ke pertemuan pemimpin komponen PN ketika menjawab pertanyaan media di Dewan Rakyat pada 28 Januari lalu.
Hamzah juga didakwa terlibat dalam usaha mengumpul surat Akuan Bersumpah (SD) melalui manipulasi ketetapan berkaitan ‘Retreat Gopeng’.
Hamzah sebelum ini menafikan wujud hubungan tegang dengan Muhyiddin serta menolak dakwaan pembentukan dua kem dalam Bersatu. Beliau mendakwa isu tersebut sengaja dimainkan bagi mencetuskan perpecahan dalaman.
Bagaimanapun, beliau terus dikaitkan dengan dakwaan menyokong perpecahan parti yang dipercayai membawa kepada tindakan disiplin sebelum ini, termasuk pemecatan Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Datuk Saifuddin Abdullah, serta penggantungan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. -MalaysiaGazette
















keluar parti satu tindakan bijaksana
i