Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 Transparency International bertambah baik apabila naik ke tangga ke-54 berbanding ke-57 tahun lalu dalam kalangan 182 buah negara di peringkat global.

Skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025 meningkat sebanyak 2 mata pada tahun 2025, menunjukkan peningkatan yang sederhana tetapi memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Transparency International (TI) – Malaysia berkata, peningkatan keputusan Malaysia membuktikan usaha-usaha pencegahan antirasuah, tindakan penguatkuasaan dan komitment tadbir urus diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Peningkatan skor CPI Malaysia pada tahun 2025 haruslah dilihat sebagai isyarat potensi bukan alasan untuk berleka. Berdasarkan kestabilan politik semasa dan majoriti Parliamen, peluang untuk melaksanakan reformasi bermakna kekal terbuka,” katanya.

Manakala Denmark, Finland dan Singapura mendahului indeks tersebut dengan markah yang mercerminkan tadbir urus yang kukuh secara konsisten, mempunyai institusi berintegriti dan berakauntabiliti.

Manakala negara-negara yang kekal berada di kedudukan terendah dalam indeks tersebut iaitu South Sudan, Somalia dan Venezuela mempunyai prestasi yang kurang memuaskan yang berpunca dari isu rasuah, konflik dan institusi yang lemah.

TI-Malaysia berkata, antara faktor yang mungkin menyumbang kepada peningkatan skor CPI Malaysia pada tahun lalu ialah pengenalan kepada Akta Tanggungjawab Kewangan dan Fiskal 2023, pindaan kepada Akta Audit 1957 bagi memperluaskan pengawasan Ketua Audit Negara kepada GLC / GLIC dan pengenalan kepada ketelusan pemunyaan benefisial melalui Akta Syarikat (Pindaan) 2024.

Selain itu, tindakan penguatkuasaan yang berterusan terhadap pegawai kanan awam dan ahli politik elit dan rang undang-undang baharu seperti Bil Perolehan Kerajaan dan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (2025).

Kerajaan Madani juga telah memperkenalkan atau menegaskan beberapa komitmen tadbir urus yang positif seperti pelancaran Strategi Anti-Rasuah Kebangsaan (NACS) 2024-2028 yang menyediakan rangka kerja menyeluruh melibatkan keseluruhan kerajaan, penubuhan Pasukan Petugas CPI yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan inisiatif reformasi institusi seperti penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, penubuhan
Ombudsman Malaysia, pembaharuan perlindungan pemberi maklumat, serta rancangan untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Meskipun begitu, TI-Malaysia menekankan bahawa masih terdapat kelemahan besar, khususnya dari segi kelajuan dan keperincian reformasi institusi serta perundangan.

Ia termasuk adalah aspek bil perolehan kerajaan, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA), integriti dan pengawasan dalam perolehan awam, perolehan pertahanan dan akses kepada maklumat.

TI Malaysia turut menekankan progres ke arah mencapai kedudukan 25 teratas menjelang tahun 2033 masih perlahan dan membimbangkan.

Katanya, untuk mencapai peningkatan yang konsisten dan merealisasikan sasaran kedudukan 25 teratas menjelang 2033, kerajaan hendaklah mempercepatkan usaha pembaharuan institusi dan perundangan, mengukuhkan ketelusan, dan menunjukkan kehendak politik yang konsisten.

TI-Malaysia menggesa kerajaan untuk bertindak tegas dan sistematik, memandangkan orang ramai akan meletakkan harapan yang tinggi dan akibat tidak bertindak dengan efektif akan dicerminkan dalam kedua-dua aspek skor CPI akan datang dan kepercayaan orang ramai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast