Tertuduh, Lim Toh Seng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran serta ugutan jenayah menakutkan seorang wanita di sebuah pasar raya, Sabtu lalu.

MELAKA – Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran serta ugutan jenayah menakutkan seorang wanita di sebuah pasar raya, Sabtu lalu.

Tertuduh, Lim Toh Seng, 50, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran yang sah yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1957.

Kesalahan itu memperuntuk hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan ketakutan kepada seorang gadis dengan mengejarnya sambil membawa pisau.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 9.30 malam, 7 Februari lalu di kawasan parkir kereta AEON Bandaraya Melaka di dalam daerah Melaka Tengah di sini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik menawarkan jaminan RM30,000 bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 kerana ugutan jenayah.

Selain itu, pendakwaan turut memohon tertuduh dikenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu pengadu dan mangsa serta melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Ishak Mohd Kari memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu Grab selain bakal menyambut Tahun Baharu Cina minggu depan.

Tertuduh juga merupakan bapa tunggal yang menjaga anak berusia 11 tahun selain mendakwa kehilangan RM10,000 akibat ditipu seorang wanita warga Vietnam sebelum ini.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 bagi pertuduhan memiliki pisau dan RM3,000 kerana melakukan ugutan jenayah dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Sabtu lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang wanita berdepan detik cemas apabila diserang suspek ketika sedang berjalan di kawasan parkir pusat beli belah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan kejadian berpunca akibat tersalah sangka.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa terpaksa melarikan diri bersama adik perempuannya masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan selepas didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang bertindak agresif sambil memegang sebilah pisau.

Siasatan mendapati suspek tersalah sasaran apabila dia menyangka mangsa adalah wanita warga Vietnam yang pernah menipunya sebanyak RM10,000 sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast