Fadhlina (tengah) pada Majlis Penyerahan Smartboard Prasekolah dan Flag Off Susu UHT Farm Fresh Grow Percuma Murid Prasekolah Seluruh Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) menyeru semua pihak sekolah termasuk asrama untuk merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membendung penularan penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya  sentiasa bekerjasama dengan KKM dalam menangani isu berkenaan meskipun keadaan terkini masih dilaporkan terkawal.

“Apa sahaja aspek yang melibatkan penularan wabak dan kesihatan, kita akan dapatkan pedoman daripada KKM dan kalau ada kes berlalu di asrama atau sekolah, tindakan akan dilaksanakan dengan pantas.

“Jadi semua perkara yang menjadi garis panduan itu ada bersama kita bincangkan (dengan KKM) dan tindakan juga bersama,” katanya ketika diminta mengulas pelaksanaan garis panduan tibi di sekolah dan asrama.

Beliau hadir pada Majlis Penyerahan Smartboard Prasekolah dan Flag Off Susu UHT Farm Fresh Grow Percuma Murid Prasekolah Seluruh Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, tiga daripada tujuh murid sekolah rendah di Johor yang menghidap tibi telah sembuh dan dibenarkan kembali ke sekolah.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sehingga 7 Februari lalu, sebanyak 10 kluster baharu jangkitan tibi dilaporkan di seluruh negara.

Selangor mencatatkan empat kluster manakala masing-masing satu dilaporkan di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast