KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mungkin tidak faham konsep saham atau terkeliru antara saham dan modal berbayar, kata Datuk Rafizi Ramli.
Ahli Parlimen Pandan itu memberi maklum balas terhadap penjelasan Azam berhubung dakwaan pemilikan saham melebihi had dibenarkan bagi penjawat awam, semalam.
Menurut Rafizi, peraturan penjawat awam untuk tidak boleh memiliki saham melebihi RM100,000 dalam mana-mana syarikat adalah jelas dan masuk akal.
Ini kerana gaji penjawat awam tidak terlalu besar sehingga membolehkan mereka memiliki saham yang banyak dalam sesuatu syarikat.
Lebih berbahaya jika timbul pertembungan kepentingan (conflict of interest) kerana ada keputusan-keputusan awam atau penguatkuasaan yang boleh dipengaruhi oleh kepentingannya di dalam syarikat atau industri tertentu.
“Cuma yang saya tak boleh brain (fikir) macam mana seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM, yang mengendalikan siasatan dan pendakwaan kes-kes kolar putih yang melibatkan traksasi saham dan kewangan kompleks, seolah-olah terkeliru mengenai maksud saham.
“Bila beliau sebut pembelian saham-saham itu dari pasaran terbuka dan tidak melibatkan modal berbayar, ia memberi gambaran yang pada pemahaman beliau, beli saham syarikat senaraian awam di pasaran terbuka itu bukan modal berbayar.
“Apa-apa saham itu modal berbayar la Tan Sri!” katanya lagi.
Semalam, Azam dalam satu sidang media menegaskan, beliau telah melupuskan semua sahamnya dan kini tidak mempunyai sebarang pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.
Beliau berkata semua urus niaga sahamnya sebelum ini dijalankan secara telus dan mematuhi sepenuhnya peraturan kerajaan.
Katanya urus niaga saham tidak menyalahi undang-undang bagi pegawai kerajaan, asalkan tiada konflik kepentingan dan pengisytiharan dibuat dengan telus.
Azam berkata saham dibelinya adalah mematuhi peraturan kerajaan yang menetapkan bahawa sebagai pegawai kerajaan, beliau tidak boleh memiliki lebih daripada lima peratus daripada modal berbayar sesebuah syarikat
“Saham ini bukanlah modal berbayar. Saya membelinya di pasaran saham. Jadi, di sini terdapat dua tafsiran berbeza,” katanya. -MalaysiaGazette
















