Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah sekiranya berlaku pencerobohan tanah termasuk melibatkan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di Negeri Selangor.

Arahan ini berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkait tanah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengulas perobohan kuil di Rawang semalam berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat insiden perobohan kuil yang berlaku di Rawang semalam dan akan melalui proses undang-undang yang sewajarnya.

Menurutnya kejadian di Rawang itu telah mencetuskan kegusaran dan kerisauan dalam kalangan rakyat dan perlu ditangani segera untuk mengelakkan sebarang insiden yang akan menggugat keharmonian negeri atas faktor kaum dan agama.

Menurutnya, secara keseluruhan, terdapat dua isu utama melibatkan rumah ibadat yang tidak sah.

Pertama, rumah ibadat yang menduduki tanah milik kerajaan negeri dan kedua, rumah ibadat yang didirikan di atas tanah milik
persendirian.

“Bagi isu pertama, saya telah mengarahkan supaya prosedur yang sedang digunapakai di peringkat Kerajaan Negeri dipertingkatkan dan tindakan segera di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pengukuhan Tatacara Pengendalian Piawai Jawatankuasa LIMAS yang lebih jelas.

“Untuk rumah ibadat yang menduduki tanah milik persendirian pula, proses sedia ada memerlukan pemilik tanah untuk melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan sebarang pengosongan dan perobohan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Panglima Markas 11 Bridged, yang dipertua majlis, dan pegawai daerah berkenaan tahap keselamatan awam negeri.

Dalam pada itu, katanya, MKN Negeri Selangor telah memutuskan tiga langkah dilaksanakan sekiranya berlaku pencerobohan tanah termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di negeri tersebut.

Langkah pertama ialah membuat laporan polis bagi membolehkan disiasatan dilaksanakan dan sekiranya terbukti, proses pendakwaan bagi kesalahan pencerobohan akan bermula.

Selain itu, menghantar notis kepada pihak penceroboh dan maklumkan secara rasmi kepada Pejabat Daerah dan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah telah diaktifkan di semua daerah di Selangor.

JKD sebagai pengantara akan memanggil semua pihak termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan bagi mencapai penyelesaian yang munasabah.

Menurutnya, sekiranya proses ini tidak membuahkan hasil, JKD akan menasihatkan supaya proses mahkamah diteruskan oleh pemilik tanah.

“Pendekatan ini digunakan supaya keseluruhan proses ini melibatkan pihak berkuasa dan mengelakkan daripada sebarang insiden yang mampu mencetuskan rusuhan untuk berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast