Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memulakan tindakan undang-undang terhadap agensi berita antarabangsa, Bloomberg susulan laporan yang didakwa berunsur fitnah berhubung urus niaga saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Beliau memulakan tindakan tersebut melalui firma guaman Zain Megat & Murad bagi menuntut ganti rugi dan relif yang sesuai berkaitan laporan yang disifatkan mengelirukan.

Firma tersebut dalam kenyataan berkata, pihaknya dilantik untuk bertindak bagi pihak Azam berkaitan laporan berkenaan yang telah diulangi dan diterbitkan semula oleh pelbagai media lain seterusnya mengakibatkan penyebaran meluas dakwaan berkenaan.

“Kami diarahkan untuk menyatakan bahawa laporan, cadangan dan sindiran dalam artikel itu `libel, tidak bertanggungjawab dan amat mengelirukan’ serta menyebabkan kecederaan serius pada Azam serta maruah, kredibiliti dan integriti institusi itu, ” demikian menurut kenyataan tersebut hari ini.

Menurut firma berkenaan, saham yang dirujuk dalam laporan berkenaan telah dilupuskan sebelum penerbitan dan boleh disahkan menerusi deklarasi dan rekod dokumen sedia ada.

Kata kenyataan itu, Azam tidak melanggar undang-undang, peraturan atau keperluan perkhidmatan awam berhubung perkara yang dilaporkan media tersebut.

Menurutnya, sebarang perolehan dan seterusnya pelupusan saham berkenaan telah diisytiharkan sewajarnya menerusi saluran rasmi yang ditetapkan termasuk Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia, sejajar keperluan jabatan perkhidmatan awam.

Ujar kenyataan itu, Azam kekal teguh dalam komitmennya terhadap integriti, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang dalam menunaikan tanggungjawab awamnya.

Media semalam melaporkan, Azam mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg susulan laporan yang sangat mengelirukan tanpa menyemak fakta sebenar.

“Esok peguam saya akan hantar (LOD) kepada Bloomberg, sama ada di Malaysia atau di Amerika Syarikat. Agensi berita itu menerbitkan laporan tanpa membuat semakan fakta secara menyeluruh, khususnya berkaitan garis masa pemilikan saham dan pengisytiharan asetnya.

“Ia satu kenyataan yang sangat mengelirukan oleh Bloomberg tanpa menyemak fakta sebenar,” katanya pada sidang media khas, semalam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast