BAYAN LEPAS – Kesesakan luar biasa di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang berpunca daripada lonjakan jumlah penerbangan dan jadual ketibaan rapat dijangka dapat diatasi dengan pelaksanaan pintu pagar automatik (autogate) imigresen, yang mula beroperasi semalam.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai, yang meninjau pelaksanaan sistem itu berkata, setakat jam 3 petang, lebih 1,800 penumpang termasuk rakyat Malaysia dan pelawat asing, telah menggunakan kemudahan baru ini.
“Barisan menunggu kini lebih pendek walaupun jumlah penerbangan tetap tinggi. Sistem ini membolehkan pemeriksaan imigresen diselesaikan dalam lima hingga 10 saat.
“Setakat ini, lima unit autogate ditempatkan di balai pelepasan manakala enam unit lagi di balai ketibaan.

“Kemudahan ini dibuka kepada rakyat Malaysia dan pelawat dari 72 negara untuk urusan pelepasan, manakala ketibaan melibatkan rakyat Malaysia dan pelawat dari 63 negara. Pelawat asing yang ingin menggunakan autogate bagi ketibaan perlu mengisi Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) dan pernah memasuki Malaysia sebelum ini bagi tujuan pengesahan biometrik,” katanya di sini.
Tambah beliau, kaunter manual masih dikekalkan untuk penumpang yang menghadapi masalah dokumen, pasport lama, atau mereka yang pertama kali memasuki negara ini.
“Pelaksanaan autogate tepat pada masanya menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
“AKPS turut merancang menambah bilangan pintu automatik pada masa hadapan mengikut keperluan ruang dan penambahbaikan terminal,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Peningkatan jumlah penerbangan punca kesesakan luar biasa di LTAPP – AKPS
Media sebelum ini melaporkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pulau Pinang menafikan dakwaan hanya dua kaunter pemeriksaan dibuka sehingga menyebabkan kesesakan di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini.
Sebaliknya, Komander AKPS Pulau Pinang, Zuhair Jamaludin menegaskan, kesesakan luar biasa itu berpunca daripada peningkatan mendadak jumlah penerbangan sejak Januari lalu. – MalaysiaGazette
















