KUALA LUMPUR – Kes pembunuhan wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai, Kota Kinabalu, Sabah semalam berpunca daripada perselisihan hubungan peribadi serta tuntutan wang pertunangan.
Pengakuan itu diperoleh hasil soal siasat awal terhadap seorang suspek lelaki tempatan berusia 71 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya berjaya menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes termasuk seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.
Ujarnya, hasil maklumat saksi mendapati mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki.
“Susulan itu, kira-kira pukul 8.10 malam semalam, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu dengan kerjasama D7 dan D9 telah menahan seorang lelaki berumur 71 tahun di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu bagi membantu siasatan.
“Seterusnya kira-kira pukul 10.30 malam, seorang lagi lelaki berumur 19 tahun turut ditahan di sebuah unit kediaman di “Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar, Kota Kinabalu kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, turut dirampas dalam tangkapan tersebut ialah beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail berwarna keemasan.
Ujarnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan dan kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, tambahanya, polis memandang serius kes tersebut dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional bagi memastikan keadilan ditegakkan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Semalam, media melaporkan mayat wanita berusia 40-an ditemukan dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang secara berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai.
Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki pada pukul 6.30 pagi, sebelum pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada pukul 11.40 pagi di lokasi berhampiran. – MalaysiaGazette
















