KUALA LUMPUR – Dua kontena mengandungi hasilan ikan dan haiwan yang diseludup masuk tanpa permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) disita Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua kontena itu dikesan menerusi dua operasi berasingan di Pusat Pemeriksaan Kontena CFS 4, Pelabuhan Klang Barat.
“Operasi pertama dijalankan antara jam 9 pagi hingga 11 pagi semalam, telah menyita satu kontena mengandungi hasilan ikan jenis Pangasius Fillet yang diimport dari Vietnam dan rampasan itu kira-kira bernilai RM191,684.35 dengan anggaran berat sebanyak 25,000 kilogram (kg).
“Operasi kedua pada hari sama jam 11.30 pagi hingga 1 petang, melibatkan satu kontena mengandungi hasilan haiwan jenis petfood yang diimport dari New Zealand seberat berat 10,420.80 kg dengan nilai rampasan RM74,416.96.
“Secara keseluruhan, nilai rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan berjumlah RM266,101.31 membabitkan berat keseluruhan sebanyak 35,420 kg,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan mendapati kesemua dagangan itu cuba dibawa masuk tanpa permit import Maqis dan sitaan dibuat bagi memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan makanan dan kepentingan kesihatan awam negara terus terpelihara.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] atas kesalahan mengimport tanpa permit import Maqis yang sah.
“AKPS Pelabuhan Klang menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras kemasukan barangan larangan dan dagangan yang tidak mematuhi peraturan demi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















