Datuk Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digesa agar meletakkan jawatan segera susulan dakwaan bahawa pelantikan beliau telah disambung sebanyak tiga kali.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, langkah tersebut adalah terbaik demi menjaga integriti institusi dan memberi ruang kepada siasatan yang telus berhubung dakwaan yang dilontarkan terhadap dirinya ketika ini.

Menurut beliau, jika Azam sebelum ini merupakan seorang yang bermaruah, berintegriti dan mendakwa dirinya bersih, tindakan paling wajar ialah berundur secara terhormat tanpa berselindung di sebalik jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Sudah tiga kali jawatan disambung. Mahu apa lagi? Tunggu apa lagi? Langkah terbaik ialah letak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, sekiranya benar tidak bersalah dan berpegang kepada prinsip integriti, tiada sebab untuk takut kepada sebarang siasatan yang dijalankan.

“Bersikap jujur dan gentleman. Jangan berselindung di sebalik jawatan. Jika bersih dan berintegriti, apa yang hendak ditakutkan?” katanya lagi.

Ibrahim turut menyeru agar Azam menunjukkan teladan seperti bekas Panglima Tentera Darat yang bercuti sebelum mengambil keputusan meletakkan jawatan demi menjaga nama baik institusi.

Katanya, sebarang tindakan berdolak-dalik hanya akan menimbulkan persepsi negatif dan menyebabkan individu terbabit terus dibayangi keraguan.

“Tunjukkan maruah diri. Cukup dah tiga kali sambung,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast