SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menegaskan pendiriannya untuk mengutamakan penyelesaian secara aman dalam isu pertikaian tanah, sambil menepis dakwaan kononnya kerajaan negeri melindungi penceroboh atau menafikan hak pemilik yang sah.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri semalam bertujuan memperjelaskan pendirian kerajaan negeri serta menepis prasangka buruk yang disebarkan sehingga menimbulkan kekeliruan.
“Mesyuarat itu tidak pernah memutuskan untuk membela penceroboh atau menghalang hak pemilik tanah daripada menuntut hak mereka.
“Kerajaan negeri sedar setiap pembinaan tanpa kebenaran adalah salah di sisi undang-undang dan keadilan mesti dikembalikan kepada pemilik yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mesyuarat berkenaan menetapkan supaya sebarang langkah pengosongan atau perobohan dilaksanakan secara tertib dan teratur, selaras dengan hukum serta prosedur yang betul.
Jelas beliau, kegagalan mematuhi proses itu berpotensi mencetuskan pertelingkahan antara penceroboh dan pemilik tanah sekaligus mewujudkan persengketaan yang lebih sukar ditangani pada masa hadapan.
“Sekiranya pemilik tanah mengambil keputusan membawa sendiri jentolak untuk meruntuhkan struktur, kemudian pihak terlibat enggan bekerjasama dan menghalang dengan keras, keadaan ini boleh mencetuskan pergaduhan dan keganasan pada skala yang tidak boleh dijangka,” ujarnya.
Beliau berkata, situasi sedemikian akhirnya akan memaksa campur tangan polis serta penguat kuasa pihak berkuasa tempatan bagi meleraikan kekecohan yang berlaku.
Sehubungan itu, Saifuddin menegaskan adalah lebih wajar sekiranya pihak polis dan penguat kuasa PBT dilibatkan lebih awal bagi memastikan ketenteraman awam terjamin dan sebarang pertelingkahan dapat dielakkan.
“Kehadiran pasukan beruniform bersama perintah mahkamah semasa proses perobohan pastinya dapat menjamin keamanan kedua-dua pihak,” katanya.
Menurut beliau, keputusan mesyuarat itu turut dibuat berdasarkan nasihat wakil Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, selain mengambil kira hakikat bahawa isu pencerobohan tanah merupakan kes sivil dan bukannya kesalahan jenayah.
“Hanya mahkamah mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan sesuatu tindakan itu sebagai pencerobohan,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata kerajaan negeri tidak berniat untuk menyukarkan pemilik tanah menuntut hak mereka, sebaliknya mahu semua tindakan dilaksanakan mengikut proses undang-undang sedia ada.
“Kita tidak mahu penceroboh dan tuan tanah mengambil tindakan tanpa merujuk kepada proses sebenar kerana ia boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kedaulatan undang-undang seperti yang termaktub dalam Rukun Negara,” katanya. -MalaysiaGazette
















