KUALA LUMPUR – Naib Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan, menafikan dakwaan kononnya sebahagian besar ahli sayap itu meninggalkan parti susulan pengumuman keluar Ketua Sayap Bersekutu, Dr. Chong Fat Full.
Beliau berkata dakwaan satu pertiga ahli akan mengikut langkah Dr. Chong adalah tidak berasas dan perlu disokong dengan bukti yang jelas.
“Saya ingin tegaskan di sini bahawa Sayap Bersekutu masih sangat kukuh dan utuh.
“Kalau nak kata satu pertiga atau dua pertiga keluar, tunjukkan nombor. Tunjukkan data. Jangan buat cerita,” katanya kepada media hari ini selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) hari ini.
Menurut Sanjeevan yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, setakat ini pihaknya sendiri belum menerima sebarang surat rasmi berhubung perletakan jawatan Dr Chong.
“Saya pun hanya membaca laporan dalam media. Belum ada apa-apa surat rasmi daripada beliau.
“Jadi untuk kata berita itu betul atau tidak, saya pun tidak pasti,” katanya.
Beliau berkata, sebarang keputusan rasmi hanya boleh dibuat selepas parti menerima makluman bertulis mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Dalam parti, kita ada saluran dan proses yang perlu dipatuhi. Semua mesti ikut perlembagaan,” ujarnya.
Mengulas tindakan disiplin yang diambil terhadap beberapa pemimpin parti semalam, Sanjeevan menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan lembaga disiplin.
“Saya sangat bersetuju dengan tindakan itu kerana ia dibuat berdasarkan aduan dan bukti yang mereka ada. Semua ini berlandaskan perlembagaan parti,” katanya.
Menurut beliau, keputusan tersebut bertujuan menjaga disiplin serta kestabilan organisasi parti.
“Tidak ada apa yang salah dengan tindakan itu. Ia dibuat mengikut proses yang ditetapkan,” katanya.
Sanjeevan turut menolak dakwaan perkembangan terbaharu itu akan melemahkan Sayap Bersekutu atau Bersatu secara keseluruhan.
“Parti masih berjalan seperti biasa. Struktur masih kukuh dan ahli masih komited,” katanya.
Beliau berkata, kepimpinan sayap itu kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh gerak kerja serta memastikan sokongan ahli di peringkat akar umbi terus diperkasakan.
Sebelum ini Dr. Chong dilaporkan umum keluar Bersekutu dengan dakwaan parti Bersatu sudah hampir ‘terkubur’.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis itu juga mendakwa, satu pertiga daripada ahli sayap Bersekutu turut mengikut jejak langkah beliau meninggalkan Bersatu. -MalaysiaGazette















