Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Jawatan kuasa khas yang ditubuhkan bagi tujuan menyiasat dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam dua syarikat berisiko dilabel sebagai tidak berkesan dan sekadar “harimau tanpa taring”.

Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh mendakwa, jawatan kuasa tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa penyiasatan seperti kuasa untuk mengemukakan atau mendapatkan dokumen, atau kuasa memanggil serta memaksa kehadiran saksi sebagaimana diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah.

Dalam keadaan ini, adalah tidak mungkin jawatan kuasa berkenaan memperoleh maklumat selain daripada versi kejadian yang dikemukakan oleh Azam sendiri, dan berkemungkinan hanya akan melaporkan kesimpulannya terhad, sama seperti yang dilakukan oleh Jawatankuasa Siasatan Bebas dalam kes siasatan terhadap tujuh pemain bola sepak warisan susulan larangan FIFA kerana dokumentasi palsu baru-baru ini.

Kedua, terma rujukan jawatan kuasa berkenaan tidak merangkumi siasatan terhadap dakwaan pakatan sulit antara SPRM dan ahli perniagaan untuk memaksa pengambilalihan syarikat milik pesaing mereka, seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg dalam laporannya bertajuk “Who’s Watching Malaysia’s Anti-Corruption Watchdog” bertarikh 12 Februari 2026

Katanya, pengumuman pembentukan jawatankuasa tersebut oleh Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan bertarikh 13 Februari 2026 hanya merujuk kepada siasatan terhadap pemilikan saham Azam dalam syarikat-syarikat berkenaan.

Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, tidak dapat dinafikan bahawa dakwaan Bloomberg mengenai pakatan sulit SPRM dengan ahli perniagaan adalah sama seriusnya dengan dakwaan pemilikan saham oleh Azam dan wajar disiasat secara menyeluruh.

Tambahan pula, dakwaan pakatan sulit yang dibangkitkan oleh media itu seperti yang terkandung dalam artikel berkenaan telah diterbitkan pada 12 Februari 2026, iaitu sehari sebelum Kabinet bermesyuarat dan membincangkan perkara tersebut pada 13 Februari 2026.

Oleh itu, hujah beliau, tiada sebab mengapa dakwaan dalam artikel berkenaan tidak turut dijadikan subjek siasatan oleh jawatan kuasa tersebut.

Alasan ketiga, ialah pelantikan Peguam Negara sebagai pengerusi jawatan kuasa berkenaan menimbulkan potensi konflik kepentingan, memandangkan tidak wajar bagi Peguam Negara untuk mengesyorkan pendakwaan terhadap Azam sekiranya beliau didapati melakukan salah laku hasil siasatan tersebut.

Ia kerana, secara asasnya Peguam Negara tidak boleh menjalankan siasatan dan pendakwaan serentak.

“Saya berpandangan kedua-dua dakwaan yang dibangkitkan oleh Bloomberg wajar disiasat oleh sebuah jawatan kuasa bebas, yang ahlinya tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap hasil siasatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam alas an seterusnya, Ramkarpal menambah, Azam tidak diarahkan untuk bercuti sementara menunggu siasatan dijalankan, oleh itu, persepsi beliau berpotensi mempengaruhi siasatan tersebut tidak boleh diketepikan.

Hujah beliau lagi, dakwaan yang dibangkitkan oleh Bloomberg adalah amat serius dan mesti ditangani secara wajar serta telus kerana kerajaan tidak mampu menanggung sebarang persepsi berat sebelah dalam perkara ini.

“Sehubungan itu, saya menggesa kerajaan supaya bertindak segera menangani perkara-perkara yang dibangkitkan di atas demi kepentingan keadilan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast